4,186 pegawai perubatan kontrak diberi lantikan tetap tahun depan

Khairy Jamaluddin ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
Khairy Jamaluddin ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Parlimen hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 4,186 pegawai perubatan kontrak telah dinilai dan diperakui untuk lantikan tetap oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bermula tahun depan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, secara keseluruhan seramai 10,583 pegawai perubatan telah menamatkan tempoh khidmat wajib masing-masing.

Beliau berkata, sebanyak RM377,485,89 implikasi tambahan kewangan diperlukan meliputi semua pegawai perubatan yang memperoleh lantikan tetap itu.

“Untuk makluman Yang Berhormat, daripada 10,583 pegawai yang telah tamat tempoh khidmat wajib, 4,186 pegawai telah pun dinilai dan boleh diperakukan kepada JPA untuk lantikan tetap.

“Jumlah yang diperlukan untuk tahun depan bagi permohonan 4,186 perjawatan lantikan tetap yang meliputi 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian, 300 pegawai farmasi adalah RM377,485,89,” katanya ketika waktu pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) yang minta kementeriannya menyatakan berapa implikasi tambahan kewangan yang diperlukan apabila kerajaan bersetuju pelantikan pegawai perubatan kontrak kepada lantikan tetap.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Anwar mengenai jaminannya untuk mencadangkan 10,500 pegawai perubatan kontrak kepada jawatan tetap bagi menyelesaikan isu yang telah berlarutan sejak sekian lama, Khairy Jamaluddin berkata, beliau sependapat dengan ketua pembangkang itu.

“Pendirian saya dengan ketua pembangkang tidak jauh beza. (Jadi) sekarang ini kita melihat daripada lebih 10,000 (pegawai perubatan kontrak ini) berapa ramai yang diperlukan dari segi unjuran keperluan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

“Saya pasti, pendirian saya juga menghampiri (pendapat) ketua pembangkang (iaitu) apa yang diperlukan (untuk) dilantik (pegawai perubatan kontrak) secara tetap,” katanya.