Warga Myanmar mengamuk, cederakan diri

Mangsa berjaya ditahan dengan bantuan anggota bomba menggunakan semburan air.
Mangsa berjaya ditahan dengan bantuan anggota bomba menggunakan semburan air.
A
A
A

BERUAS - Seorang warga Myanmar dipercayai kurang siuman bertindak agresif dengan mengamuk dan mencederakan diri sendiri menggunakan besi dalam satu kejadian di sebuah rumah di Pantai Remis di sini pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 10 pagi itu, lelaki berusia 37 tahun dan bekerja sebagai nelayan itu turut membaling batu dan memecahkan cermin rumah sambil memegang besi.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, maklumat kejadian itu diterima daripada orang awam memaklumkan terdapat seorang lelaki sedang mengamuk di dalam rumah.

Menurut beliau, polis yang tiba ke lokasi berjaya mengawal keadaan mangsa dengan bantuan anggota bomba menggunakan semburan air.

"Lelaki itu berjaya ditangkap dengan bantuan anggota bomba dan pemeriksaan pada tubuh badannya tidak menemui sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Dia kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Pantai Remis untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami kecederaan parah di bahagian pergelangan tangan kanan," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, punca kejadian masih belum dikenal pasti dan polis akan mendapatkan maklumat lanjut daripada majikan serta rakan.

"Buat masa ini kes disiasat atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959 kerana tiada dokumen perjalanan yang sah," katanya.

Artikel Berkaitan: