Empat calon tiba di pusat penamaan calon DUN Telok Mas

Mohd Rafiq (tengah) antara calon terawal tiba di pusat penamaan calon bagi DUN Telok Mas di Kompleks Komuniti Desa (KKD).
Mohd Rafiq (tengah) antara calon terawal tiba di pusat penamaan calon bagi DUN Telok Mas di Kompleks Komuniti Desa (KKD).
A
A
A

MELAKA TENGAH - Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen tiba di pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas di Kompleks Komuniti Desa (KKD), di sini, pada jam 8.48 pagi.

Mohd Rafiq yang juga Pengerusi PN Melaka dijangka ditentang calon bebas, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Melaka kali ini.

Mohd Rafiq tiba ditemani seorang penyokong dan pencadang calon sebelum memasuki dewan utama bagi proses penghantaran borang calon.

Proses penamaan calon dijadualkan bermula pada jam 9 hingga 10 pagi.

Beberapa minit selepas itu, calon bebas, Muhammad Ariff Adly Mohammad pula tiba di pusat penamaan calon pada jam 8.55 pagi, disusuli calon PH, Ashraf Mukhlis Minghat pada jam 8.58 pagi dan calon BN, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman pada jam 9 pagi.

Ashraf Mukhlis
Ashraf Mukhlis

Sepertimana peringatan yang telah diberikan, tiada perarakan penyokong yang membawa bendera atau laungan sorakan mengiringi calon masuk ke pusat penamaan calon.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi PRN Melaka pada 20 November, manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November.

Artikel Berkaitan:

PRN Melaka diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my