'Pas pilih calon boleh menang, bukan calon pacak'

Datuk Seri Abdul Hadi Awang
Datuk Seri Abdul Hadi Awang
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pas hanya memilih individu yang berpotensi besar untuk menang sebagai calon bagi mewakili parti itu dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15), bukan sekadar ‘calon pacak’.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pendekatan itu diambil oleh Pas selepas ada sayap parti tersebut meminta agar wakil mereka diberi peluang bertanding dalam pilihan raya.

“Saya dengar ada yang minta kerusi untuk bertanding pilihan raya, memang kita mahu mereka bertanding tapi kita mahu letak calon yang boleh menang, bukan calon yang pacak macam pagar dan tinggal begitu saja.

“Ikut suka hati kamu menang atau kalah asal Muslimat, asal dewan himpunan. Bukan begitu, kita mesti nak calon yang boleh menang,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Muktamar Pas kali ke-67 di Duyong Marina & Resort di sini pada Ahad.

Menurut Abdul Hadi, selepas memasuki medan demokrasi, peranan mempengaruhi rakyat dengan ilmu berhikmah dan kebaikan kebajikan adalah penting.

Beliau berkata, peranan itu harus dimainkan oleh Dewan Ulama Pas, Dewan Muslimat Pas, Dewan Pemuda Pas dan Dewan Himpunan Pendukung Pas dalam usaha menarik sokongan rakyat terhadap Pas.

Dalam ucapan itu, Abdul Hadi yang merupakan Ahli Parlimen Marang turut menegaskan bahawa Pas menjadi sebuah parti paling dipercayai oleh parti lain apabila mereka dilanda masalah.

“Alhamdulillah, sehingga kini Pas diberi peranan untuk menyatukan umat.

Artikel Berkaitan:

“Pas dipercayai oleh semua parti yang ada masalah dan datang menemui Pas. UMNO, Semangat 46, PKR (Parti Keadilan Rakyat), Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) bergabung dengan Pas.

“Pas ditumpang oleh parti lain, (tapi) orang Pas tidak sedar dan mereka ingat dia tumpang orang sedangkan orang tumpang dia,” katanya yang turut mengimbau sejarah perjalanan Pas bersama parti lain sejak tahun 1960.

Muktamar Pas ke-67 disertai 1,546 perwakilan dengan 694 daripadanya mengikuti secara langsung dari Duyong Marina & Resort manakala baki 852 orang lagi mengikutinya dari negeri masing-masing.

Selepas dua hari berlangsung, muktamar yang mengangkat tema ‘Islam Menyatukan Ummah’ melabuhkan tirai dengan Kedah dijangka menjadi lokasi muktamar Pas akan datang.