X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

'Henti berteka-teki hala tuju parti, sokong satu nakhoda'

Ahmad Fadhli
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemuda Pas meminta supaya teka-teki mengenai hala tuju parti dapat dihentikan dan sokongan penuh diberikan kepada seorang 'nakhoda' di dalam parti.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, Pemuda Pas berpendirian jelas menyokong serta memberikan mandat penuh kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam menentukan hala tuju parti.

"Sekarang bukan masa untuk berteka-teki mengenai hala tuju parti.

Kita mempunyai nakhoda yang jelas yang bukan berlayar di lautan tenang, tetapi lautan penuh bergelombang.

"Tidak perlu ramai yang bercakap tentang hala tuju.

Beri kepercayaan kepada satu nakhoda untuk mengemudi kerana beliau boleh nampak di mana ikan jerung, di mana lautan, di mana taufan.

"Jika semua mahu jadi perunding parti, kita bimbang akan ada perunding yang menjual nama parti untuk kepentingan peribadi," katanya ketika ucapan penggulungan pada Muktamar Pas ke-67 di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi menjawab usul yang dibawa Timbalan Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Abdul Razib Abdul Rahim yang meminta kepimpinan Pas menyatakan pendirian jelas mengenai hala tuju Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Sabtu.

Sementara itu, Ahmad Fadhli menyifatkan Pas merupakan sebuah parti paling berintegriti kerana belum berlaku wakil rakyat daripada parti itu yang bertindak lompat parti selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, situasi itu menggambarkan kesemua wakil rakyat daripada parti itu memiliki integriti yang tinggi dan telus terhadap perjuangan parti.

"Kita merupakan parti yang paling berintegriti di bumi Malaysia. Tiada parti selepas PRU14 yang berjaya mempertahankan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen daripada lompat parti.

"Tidak perlu sebut siapa ADUN dan ahli Parlimen yang beberapa kali 'melompat' sehingga menumbangkan sebuah kerajaan," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!