MEDIU kekal hubungan pendidikan tinggi Malaysia dan Arab Saudi

Fadlan
Fadlan
A
A
A

PETALING JAYA - Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) beriltizam untuk terus melahirkan seramai mungkin graduan dalam pelbagai bidang termasuk Bahasa Arab, Pengajian Islam, Kewangan dan Kejuruteraan.

MEDIU diwujudkan 13 tahun lalu hasil kerjasama kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kerajaan Arab Saudi.

MEDIU bagaimanapun sering dianggap sebagai universiti luar yang membuka cawangan di negara ini, sedangkan pada hakikatnya ia adalah universiti awam Malaysia yang mendapatkan khidmat para ulama daripada Universiti Al-Azhar, Mesir untuk menyediakan silibus universiti dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab.

Malah, penglibatan Syeikh Profesor Dr Saad Nasser A Al-Shathri sebagai Presiden Lembaga MEDIU dan penasihat kepada Raja Arab Saudi, Raja Salman Arab Abdulaziz Al-Saud membuktikan komitmen Arab Saudi dan Malaysia untuk mengangkat MEDIU sebagai pusat pendidikan bertaraf dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MEDIU, Profesor Madya Dr Fadlan Mohd Othman berkata, MEDIU yang pada asalnya bertapak di Plaza Masalam, Shah Alam lebih 10 tahun dan kini di Seri Petaling bukan sekadar universiti, malah lebih daripada itu.

"MEDIU adalah wadah menyemarakkan hubungan diplomatik yang semakin mengukuh antara Malaysia, Arab Saudi, Kuwait malah dari negara Asia Tenggara, lain-lain negara Arab dan benua Afrika.

"Pelajar-pelajar MEDIU bukan sahaja daripada bumi Malaysia, malah dari seantero dunia kerana mereka melihat negara kita sebagai sebuah negara yang hebat dengan prasarana dan antara negara Islam yang pesat membangun," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Desa Petaling di sini baru-baru ini.

Fadlan berkata, sewajarnya MEDIU sebagai pusat pengajian tinggi antarabangsa terus dipertahankan oleh semua pihak bagi memastikan hubungan diplomatik dan akademik negara ini dengan Arab Saudi khususnya terus ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai kesan pandemik Covid-19, MEDIU juga seperti institusi pendidikan lain apabila pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara fizikal terpaksa ditangguhkan dahulu hingga kes Covid-19 menurun ke paras yang memuaskan.

"MEDIU sememangnya sebuah institusi yang menitikberatkan P&P secara maya sejak ditubuhkan sehinggalah Covid-19 merencat pelbagai aktiviti termasuk sosial dan ekonomi dua tahun lalu.

"Kita mempunyai ribuan pelajar peringkat global dan tempatan. Sebagai pusat pendidikan bertaraf separuh universiti maya dan separuh fizikal, kita telah mewujudkan sistem pembelajaran patuh prosedur operasi standard (SOP) satu dekad sebelum wabak maut Covid-19 menjadi pandemik di segenap ceruk dunia," katanya.

Bukan berniat mendabik dada, beliau berkata, MEDIU mempunyai prasarana teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bertaraf dunia yang mampu menguruskan pendidikan ijazah sepenuhnya secara maya.

Jelasnya, bermula daripada peringkat pemilihan kursus, pertanyaan, pendaftaran pelajar, pembayaran yuran, P&P hingga graduasi boleh sahaja dilakukan sepenuhnya secara maya.

"Sebab itu, MEDIU menjadi pilihan pelajar-pelajar yang tinggal di negara yang terletak puluhan ribu kilometer dari negara ini. MEDIU ibarat institusi pendidikan yang mesra ekonomi kerana kos yang berpatutan," jelas beliau.

Lebih mengagumkan, katanya, kemudahan perpustakaan dan silibus MEDIU untuk semua jurusan secara dalam talian boleh diakses oleh pelajar dari seluruh dunia.