Koputra lancar buku simpanan emas pertama di Malaysia

Jaafar (depan, dua dari kanan) dan Zaharuddin (depan, dua dari kiri) selepas Majlis Perasmian Ar-Rahnu ketiga dan kedai emas pertama Koputra di Seri Kembangan pada Khamis.
Jaafar (depan, dua dari kanan) dan Zaharuddin (depan, dua dari kiri) selepas Majlis Perasmian Ar-Rahnu ketiga dan kedai emas pertama Koputra di Seri Kembangan pada Khamis.
A
A
A

SETELAH berjaya meneroka perniagaan pajak gadai Islam, Ar-Rahnu kini Koperasi Pelaburan Kakitangan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Koputra) melancarkan Buku Simpanan Kelana Emas (BSKE) yang pertama di negara ini.

Pengerusi Koputra, Zaharuddin Alias berkata, produk kewangan tersebut diwujudkan bagi menggalakkan ahli-ahli Koputra menyimpan dalam bentuk emas.

"Ahli-ahli Koputra boleh membeli emas dan menyimpan dalam bentuk emas. Ia boleh menjadi sumber pelaburan kakitangan untuk masa depan.

"Emas sebagai bahan yang bernilai tinggi sudah pasti merupakan pelaburan terbaik untuk ahli-ahli Koputra sahaja," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Ar-Rahnu ketiga Koputra dan Kedai Kelana Emas yang disempurnakan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Jaafar Ahmad di Wisma Koputra 2 Taming Jaya Seri Kembangan pada Khamis.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Koputra, Ghazali Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Muhaimin Jewels & Gems, Amin Abu Muhammad.

Zaharuddin berkata, cawangan pertama Ar-Rahnu Koputra di Seri Kembangan dan Bangi telah menjana RM14 juta pembiayaan.

Sementara itu, Ghazali berkata, cawangan ketiga Ar-Rahnu dan kedai emas pertama Koputra tersebut akan menjadi pusat sehenti untuk ahli-ahli koperasi dan orang ramai berurus niaga.

"Para pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan membeli, menjual, pajakan, mencuci dan menyimpan emas di sini.

Artikel Berkaitan:

"Kontrak Ar-Rahnu yang diluluskan SKM ialah kontrak Tawarruq yang mana pembiayaan yang kami tawarkan cagaran 80 peratus nilai emas berjumlah sehingga RM500,000," katanya.

Dalam pada itu, Jaafar berkata, pihaknya mengalu-alukan penubuhan Ar-Rahnu dan kedai emas di Wilayah Persekutuan dalam usaha pihak koperasi meningkatkan pendapatan mereka.