X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Abdul Hadi, Tuan Ibrahim kekalkan jawatan dalam Pas

ABDUL HADI AWANG (kiri) dan TUAN IBRAHIM.
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Abdul Hadi Awang kekal sebagai Presiden Pas apabila disahkan menang tanpa bertanding dalam pemilihan jawatankuasa tertinggi parti itu pada Muktamar Tahunan Ke-67 sesi 2021-2023.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut kekal sebagai Timbalan Presiden parti selepas tiada calon bertanding merebut jawatan itu.

“Turut mengekalkan jawatan ialah Hussin Ismail sebagai Pengerusi Tetap dan Kamal Ashaari sebagai Timbalan Pengerusi Tetap selepas kedua-duanya turut menang tanpa bertanding,” katanya dalam sidang media sempena muktamar tahunan parti itu di sini pada Khamis.

Beliau juga berkata, seramai empat calon akan bertanding merebut jawatan naib presiden parti iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad; Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Katanya, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, yang sebelum ini dicalonkan bagi jawatan itu, telah menarik diri manakala seramai 36 calon akan bertanding bagi mengisi 18 tempat sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat.

Takiyuddin berkata, Muktamar Tahunan Ke-67 yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini di Kuala Terengganu akan diadakan secara hibrid dengan 694 daripada 1,546 perwakilan dijangka hadir secara fizikal manakala selebihnya secara dalam talian.

“Perwakilan di negeri-negeri akan berada di negeri masing-masing kecuali perwakilan dari Terengganu, Kelantan dan Pahang yang akan berada di sini. Begitu juga kesemua 197 Yang Dipertua Pas kawasan akan hadir secara fizikal.

Beliau berkata, memandangkan negara masih berdepan situasi pandemik Covid-19, parti itu mengambil ketetapan bahawa perjalanan muktamar kali ini hanya berkisarkan perkara penting.

“Kita juga tidak menjemput rakan-rakan parti politik lain. Kita hanya menghantar jemputan kepada pihak yang tertentu sahaja seperti veteran Pas,” katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!