Wanita Malaysia boleh hidup hingga 77 tahun

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah populasi kaum wanita di negara ini adalah 16 juta daripada 33.3 juta populasi keseluruhan yang diunjurkan 2019 dengan nisbah sebanyak 103 lelaki dan 100 perempuan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, daripada jumlah itu 14.8 juta merupakan warganegara Malaysia, manakala 1.2 juta lagi bukan warganegara.

"Populasi wanita berdasarkan lokasi yang diunjurkan pada 2019 ialah 12.2 juta wanita tinggal di kawasan bandar. Sementara 3.8 juta wanita tinggal di kawasan luar bandar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan pada tahun 2017, kematian melibatkan wanita adalah sebanyak 71,646 daripada jumlah keseluruhan kematian iaitu 168,168.

Lima penyebab utama kematian dalam kalangan wanita ialah pneumonia iaitu sebanyak 14.1 peratus, serangan jantung (10.5 peratus), angin ahmar (8 peratus), kanser payudara (4.4 peratus) dan kanser berkaitan saluran pernafasan (1.8 peratus).

Sementara, berdasarkan perangkaan pada tahun 2018, jangka hayat wanita di negara ini boleh mencapai sehingga 77.6 tahun.

Jabatan itu turut melaporkan sebanyak 8,760 atau 62.9 peratus wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga pada tahun 2017.

Sementara itu, pada tahun 2017 seramai 190, 532 wanita berkahwin dan 49, 965 wanita bercerai pada tahun sama.

Artikel Berkaitan:

Berkenaan tahap pendidikan, sebanyak 98.2 peratus wanita menamatkan pendidikan di peringkat sekolah rendah, 88.5 peratus di sekolah menengah dan 48.3 peratus di peringkat pengajian tinggi.

Sementara sebanyak 54.7 peratus golongan wanita terlibat dalam sektor pekerjaan dengan anggaran gaji antara RM2,145 hingga RM2,772 pada tahun 2017.

Statistik itu dikeluarkan sempena Hari Wanita yang disambut hari ini.