Pastikan pengudaraan baik di bilik guru: KPM

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (kiri) bersama murid Pra Sekolah Mohd Daniel Izhar (kiri) semasa mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan Semaseh, Panchor hari ini. Foto Bernama
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (kiri) bersama murid Pra Sekolah Mohd Daniel Izhar (kiri) semasa mengadakan lawatan di Sekolah Kebangsaan Semaseh, Panchor hari ini. Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggesa pihak sekolah agar memastikan sistem pengudaraan di bilik guru sentiasa dalam keadaan baik bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, penekanan sama sudah diberikan terhadap bilik darjah sebelum ini bagi memastikan pengudaraan yang baik dan selamat untuk pelajar.

"Pengudaraan itu perlu diberi perhatian khusus. Awal dulu ramai agak keliru, tetapi akhir ini hampir semua pihak dapat memahami bahawa kepentingan untuk kita pastikan pengudaraan di sekolah berlaku pada tahap paling optimum.

"Bilik darjah nampak sudah selesai cuma di bilik guru, kadang-kadang bilik guru yang menggunakan penghawa dingin sebagai contoh, sebaiknya diusahakan supaya ada pengudaraan dengan membuka tingkap bagi membolehkan keadaan yang lebih selamat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Semasih, Panchor di sini pada Selasa.

Mengulas mengenai Bajet 2022, Mohd Radzi berkata, beliau berpuas hati dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana menyalurkan peruntukan besar untuk KPM.

Beliau berkata, bajet itu akan memberi pelbagai manfaat terutama membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan di 10,000 sekolah seluruh negara.

"Menerusi Bajet 2022 ini juga, sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk murid berkeperluan khas. Ini perkara yang sentiasa kita tekankan di mana pada tahun ini (Bajet 2021) kita memperoleh RM45 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dana itu akan digunakan untuk segmen-segmen baharu dalam melonjakkan pendidikan khas agar pelajar tidak ketinggalan.

"Dalam konteks kemasukan sekolah tahun depan, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pemberian susu setiap hari dikekalkan, manakala bantuan persekolahan dinaikkan daripada RM100 kepada RM150," katanya.