Bajet 2022: Usaha cari keseimbangan urus ekonomi negara

Pendekatan dilaksanakan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat lepas disifatkan sebagai usaha mencari titik tengah dan keseimbangan untuk menguruskan ekonomi negara
Pendekatan dilaksanakan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat lepas disifatkan sebagai usaha mencari titik tengah dan keseimbangan untuk menguruskan ekonomi negara
A
A
A

PENDEKATAN yang dilaksanakan kerajaan dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat lepas disifatkan sebagai usaha mencari titik tengah dan keseimbangan untuk menguruskan ekonomi negara, kata pakar ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pembentangan bajet dengan peruntukan berjumlah RM332.1 bilion itu akan memanfaatkan semua lapisan masyarakat.

“Hasilnya, ekonomi negara dijangka pulih lebih baik dengan kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar pada 5.5-6.5, tahun depan.

“Bagaimanapun, pada masa yang sama, kita masih lagi berdepan dengan ketidakpastian mengenai situasi Covid-19,” katanya dalam program Agenda Awani yang disiarkan di Astro Awani, malam Isnin.

Katanya, negara masih memerlukan peruntukan untuk pembelian vaksin dan membiayai kos kesihatan di samping membantu kelangsungan hidup terutamanya melibatkan golongan rentan, B40 dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Selain itu, beliau berpendapat bantuan kewangan untuk tempoh jangka panjang tidak wajar diteruskan, sebaliknya menyarankan kerajaan agar terus mencipta peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan belia.

“Memodenkan atau merancakkan sektor pertanian dengan ‘pertanian pintar’ boleh mewujudkan banyak peluang pekerjaan baharu,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, peruntukan sebanyak RM14.2 bilion mampu memulihkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi enjin pertumbuhan negara.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mencadangkan PKS untuk berbincang dengan bank bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi dan memperbaiki aliran tunai mereka.

Bajet 2022 bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyediakan sejumlah RM332.1 bilion, peruntukan tertinggi berbanding bajet-bajet sebelum ini dengan tumpuan ke arah memulihkan setiap segmen sosioekonomi negara.

Jumlah itu merangkumi RM233.5 bilion bagi perbelanjaan mengurus, RM75.6 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM23 bilion di bawah Kumpulan Wang Covid-19. - Bernama