Bayi lelaki berusia setahun rentung dalam kebakaran rumah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SANDAKAN - Seorang bayi lelaki berusia setahun rentung dalam satu kebakaran di sebuah unit di flat Jalan Dua, Pusat Bandar Sandakan, lewat malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.05 malam itu, bayi yang dikenali sebagai Adam itu, ditemui rentung sepenuhnya di sebuah bilik di rumah berkenaan oleh sepasukan bomba.

Menurut Ketua Balai Bomba Sandakan, Jimmy Lagung, bayi berkenaan difahamkan dijaga oleh kakaknya berusia 11 tahun serta ibu dan bapa saudara.

Ibu dan bapa kedua-dua kanak-kanak tersebut difahamkan tidak berada di rumah ketika kejadian.

Kanak-kanak perempuan itu juga dipercayai keluar seketika untuk membeli makanan.

Siasatan awal mendapati, penghuni rumah berkenaan menggunakan lilin di setiap bilik kerana tidak mempunyai bekalan elektrik dan ini dipercayai menjadi punca kebakaran.

Sejurus kejadian, kesemua penghuni berjaya menyelamatkan diri namun bayi tersebut tertinggal di dalam rumah berkenaan.

Jelas Jimmy, 17 anggota bomba dan dua jentera dikerah ke lokasi kejadian sebaik sahaja panggilan kecemasan.

Artikel Berkaitan:

Sebaik tiba didapati api sudah marak di tingkat tiga tiga bangunan enam tingkat berkenaan.

“Kebakaran ini melibatkan sebuah flat enam tingka, kebakaran berlaku di tingkat tiga.

"Pihak bomba terima panggilan lebih kurang jam 11.09 malam dan dalam kejadian terdapat seorang mangsa bayi berusia lebih setahun ditemui maut dalam bahagian kanan rumah tersebut," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Tambahnya, api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.56 tengah malam.

Namun demikian, Jimmy berkata, punca kejadian sebenar dan jumlah kerugian berhubung kebakaran itu masih dalam siasatan.

Mayat bayi berkenaan diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke bilik mayat Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk tindakan lanjut. - Awani