Cuti anggota bomba mungkin dibekukan hadapi musim tengkujuh

Mohammad Hamdan Wahid
Mohammad Hamdan Wahid
A
A
A

JOHOR BAHRU - Cuti anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkemungkinan akan dibekukan sekiranya berlaku situasi banjir luar biasa pada musim tengkujuh kali ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, seramai 12,500 orang anggota di 324 balai bomba seluruh negara diletakkan dalam keadaan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir.

"Kita akan lihat keadaan banjir pada ketika itu. Jika keadaannya terlalu teruk, kita terpaksa bekukan cuti anggota di kawasan yang terjejas.

"Namun jika keadaan tidak begitu mendesak, 20 peratus anggota dibenarkan untuk bercuti. Selain itu, anggota di negeri yang tidak terjejas banjir seperti di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan akan dipanggil membantu negeri terjejas banjir," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2020 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah Bomba Johor, Datuk Yahaya Madis.

Mohammad Hamdan berkata, perbincangan akan dilakukan dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan operasi menyelamat dan menempatkan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).

"Keadaan yang dihadapi ketika ini sangat mencabar kerana berdepan bencana dalam bencana (pandemik Covid-19). Kita kena pastikan mangsa banjir diasingkan sekiranya didapati positif Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"SOP dalam penugasan dioptimumkan apabila anggota akan dibekalkan dengan penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE). Kita tidak mahu wujud kluster baharu disebabkan penugasan operasi yang dijalankan," katanya