Umno Pahang sokong Guan Eng letak jawatan

Wan Rosdy (kiri) dan Mohd Afif.
Wan Rosdy (kiri) dan Mohd Afif.
A
A
A

KUANTAN - UMNO negeri menyokong gesaan mana-mana pihak agar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dipecat dari jawatannya susulan kenyataan melampau beliau yang mengumpamakan kerjasama Pas dan UMNO sebagai mengisytihar perang ke atas bukan Melayu.

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau mengecam dan membantah sekerasnya ungkapan ‘isytihar perang’ oleh Guan Eng yang bersifat hasutan pada tahap yang tertinggi sehingga mengundang rasa kurang senang dan perasaan benci antara kaum di negara ini.

Menurutnya, UMNO negeri mengesa lebih banyak pihak membuat laporan polis berikutan kenyataan melampau berbaur perkauman oleh Setiausaha Agung DAP itu.

“Tindakan beliau segera menukar kenyataannya dengan menanggalkan perkataan ‘isytihar perang’ dalam kenyataan keduanya yang disiarkan sebuah portal berita membuktikan beliau memang menyebut perkataan itu pada kenyataan asalnya.

"Beliau segera membuat pindaan itu selepas sedar betapa teruknya ungkapan ‘isytihar perang’ tersebut. Namun, bak kata pepatah Melayu, ‘Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’,” katanya melalui satu kenyataan.

Wan Rosdy berkata, beliau mengesa pihak berkuasa terutamanya polis melakukan siasatan segera ke atas pemimpin DAP itu dan biar proses undang-undang berlangsung dengan sewajar dan pada kadar segera.

Sementara itu, Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO Kuantan, Mohd Afif Mohd Anuar berkata, kenyataan Guan Eng amat tidak bertanggungjawab dan jelas bersifat ekstrimis.

Menurutnya, Guan Eng sepatutnya lebih peka kepada sensitiviti masyarakat Melayu di negara ini dan malangnya ia tidak berlaku apabila beliau mengeluarkan kenyataan bahawa penyatuan UMNO dan Pas adalah pengisytiharan 'perang' kepada kaum lain.

Artikel Berkaitan:

“Saya amat kesal dengan kenyataan ini kerana beliau seorang menteri dan kenyataan dikeluarkan itu bagai mencurah minyak ke dalam api.

“Saya yakin dan percaya bahawa perkara ini menjadi kebimbangan dan kemarahan masyarakat bukan sahaja orang Melayu tetapi bangsa lain yang cinta dan sayangkan keamanan.,” katanya.

Mohd Afif berkata, dengan pelbagai insiden yang berlaku kebelakangan ini, beliau menyeru pihak berwajib agar tegas dalam isu itu kerana bimbang pemikiran generasi rakyat Malaysia yang akan datang di racuni idealogi perkauman sekaligus merencatkan objektif negara Malaysia itu sendiri.

“Beliau sepatutnya lebih fokus kepada keadaan kewangan negara yang kian meruncing di sebabkan kegagalan mentadbir dengan baik hingga menyebabkan Khazanah Nasional juga rugi besar sejak 2005. Saya rasa ini adalah lebih elok untuk beliau fikirkan bukan sifat Cauvinisme.

“Dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, keharmonian amatlah penting bagi menjaga kestabilan sosio politik dan sosio ekonomi supaya ia tidak lari dari tunjang yang telah di bina sejak sebelum mencapai kemerdekaan,” katanya.

Beliau berkata, Pemuda UMNO telah membuat laporan polis terhadap pemimpin itu dan berharap isu yang menyentuh sensitiviti kaum perlu di tangani tanpa mengira siapa pesalahnya.

“Saya juga berharap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedar akan bahaya kenyataan seperti ini yang bagai mencurah garam di luka yang masih berdarah,” katanya.