X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

'Kita akan semak dakwaan yang dibuat bapa Nurin Jazlin'

Siasatan polis akan bermula sebaik sahaja kertas siasatan dibuka kemudian mengumpul keterangan dan bahan bukti sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk proses selanjutnya.
A
A

KUALA LUMPUR - Polis memberi jaminan akan menyemak dakwaan bapa kepada Nurin Jazlin Jazimin, kanak-kanak perempuan yang ditemukan tragis dalam sebuah beg sukan di Petaling Jaya, 14 tahun lalu.

Memetik laporan sebuah akhbar tempatan, bapa kanak-kanak itu, Jazimin Abdul Jalil mendakwa, berdasarkan pengecaman fizikal terhadap mayat berkenaan, kanak-kanak berkenaan mempunyai ciri-ciri berlainan yang menguatkan pendiriannya bahawa dia bukan anaknya yang hilang ketika berusia lapan tahun.

Justeru Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya akan menyemak dakwaan bapa mangsa termasuk jika ada sebarang maklumat baharu yang mengaitkan kepada pembunuhan kanak-kanak itu.

Beliau menjelaskan, siasatan polis akan bermula sebaik sahaja kertas siasatan dibuka kemudian mengumpul keterangan dan bahan bukti sebelum dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk proses selanjutnya.

"Bagaimanapun, kita akan semak dakwaan yang dibuat bapa mangsa, kalau ada maklumat baharu juga kita akan siasat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed menjelaskan, penubuhan jawatankuasa khas bukan di bawah bidang kuasa polis.

Sebaliknya, beliau berkata, ia diputuskan di peringkat lebih tinggi seperti Parlimen.

"Ia (jawatankuasa khas) bukan di bawah bidang kuasa polis, kita hanya membantu jika jawatankuasa itu ditubuhkan," katanya.

Dalam pada itu ditanya mengenai laporan pemadanan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang didakwa juga dipertikai berikutan keputusannya diperoleh terlalu cepat, beliau memberitahu, laporan itu disediakan oleh pakar perubatan dan bukannya polis.

Justeru itu, Jazimin mahu kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes anaknya itu.

Nurin Jazlin dilaporkan hilang ketika keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini, kira-kira pukul 8 malam, 20 Ogos 2007.

Dia yang menghidap komplikasi buah pinggang dan darah tinggi dilaporkan hilang ketika keluar berseorangan untuk membeli sepit rambut di pasar malam itu.

Penjenayah yang dikatakan menculiknya menyumbat mayat mangsa dalam beg sukan sebelum ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya.

Mayat kanak-kanak itu kemudian ditemui oleh pemilik kedai sebelum diadukan pada polis.

Polis kemudian berusaha menjejaki suspek berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di lokasi kejadian namun kualiti video yang kurang jelas menyukarkan polis untuk mengecam wajah suspek. - Awani


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!