Tuchel puji aksi cemerlang The Blues

Pemain Chelsea meraikan kemenangan berkenaan. -Foto Getty Images
Pemain Chelsea meraikan kemenangan berkenaan. -Foto Getty Images
A
A
A

PENGENDALI Chelsea Thomas Tuchel memuji aksi cemerlang skuad kendaliannya itu ketika menewaskan Southampton 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti pada pusingan 16 Piala Liga Inggeris, di Stamford Bridge pada Rabu.

Menurut Tuchel, biarpun beraksi tanpa beberapa kelibat tonggak utama kesemua pemain yang diturunkan telah memberikan aksi terbaik bagi memastikan kemenangan The Blues.

"Secara keseluruhannya, perlawanan ini berlangsung dengan penuh sengit dengan disaksikan ribuan penonton.

“Kita mendahului, tetapi lawan hanya memerlukan dua minit untuk menyamakan kedudukan. Memang cukup sengit.

“Bagaimanapun, pemain-pemain kita dilihat berjaya mengawal tekanan dan seterusnya beraksi dengan baik pada penentuan sepakan penalti bbagi menghasilkan kemenangan kali ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, Chelsea mendahului menerusi Kai Havertz pada minit ke-44 namun, The Saints, hanya memerlukan dua minit untuk menyamakan kedudukan menerusi jaringan Che Adams.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan dilihat buntu untuk menambah jaringan sehingga tamat masa tambahan bagi mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti yang menyaksikan kemenangan berpihak kepada The Blues.

Sementara itu, Tuchel berkata, kemenangan berkenaan dilihat semakin mencerahkan peluang buat skuad kendaliannya itu untuk beraksi di pentas final Piala Liga kali ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, setelah berjaya mengemudi Chelsea memenangi Liga Juara-Juara musim lalu, dia berazam untuk membawa pulang trofi domestik berkenaan kali ini.

“Kami kini berada di suku akhir dan semakin hampir untuk ke final kali ini.

“Diharapkan pemain akan dapat meneruskan kecemerlangan bagi memastikan sasaran membawa pulang trofi Piala Liga musim ini tercapai,” katanya.