Adamas sasar 500 siri pengujian doping tahun depan

Adamas menyasarkan untuk melakukan 500 siri pengujian doping terhadap atlet pada tahun depan berikutan kalender sukan yang padat. - Foto 123RF
Adamas menyasarkan untuk melakukan 500 siri pengujian doping terhadap atlet pada tahun depan berikutan kalender sukan yang padat. - Foto 123RF
A
A
A

AGENSI Anti-Doping Malaysia (Adamas) menyasarkan untuk melakukan sebanyak 500 siri pengujian doping terhadap atlet pada tahun depan berikutan kalender sukan yang padat.

Pengarahnya, Azura Abidin berkata, jumlah itu lebih banyak berbanding sasaran 300 siri pengujian tahun ini disebabkan terdapat banyak penganjuran temasya sukan tahun depan termasuk Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Malaysia (Sukma)

"Adamas tidak menetapkan jumlah spesifik pengujian setiap tahun kerana ia berdasarkan jumlah pertandingan mahupun temasya sukan untuk menentukan kadar pengujian yang perlu dilakukan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Azura menjelaskan pada masa sama Adamas menggunakan pendekatan pengujian secara bersasar menerusi ‘testing distribution plan’ yang melihat kepada aspek penilaian risiko dengan memberi lebih tumpuan terhadap atlet daripada sukan yang sentiasa mengharumkan negara di persada antarabangsa.

"Seperti contoh, jika sukan berbasikal banyak beri kejayaan kepada Malaysia, kita akan letak atlet terlibat dalam ‘testing distribution plan’ itu,” katanya.

Azura berkata, sekiranya atlet berkenaan dipanggil untuk pengujian, secara automatik mereka tersenarai dalam Sistem Adams (Anti-doping administration and management systems) yang dikendalikan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dan akan dipantau dari masa ke masa.

Mengenai aspek pembaharuan Kod Anti-Doping Dunia 2021, Azura memberitahu kod berkenaan antara lain memberi fokus terhadap aspek pendidikan kepada atlet mengenai doping yang menyaksikan mereka diberi pendedahan mengenainya terlebih dahulu sebelum menjalani ujian.

Pembaharuan kod itu juga membolehkan atlet dari sukan rekreasi seperti dodgeball dan mendaki diuji pengambilan doping berbanding sebelum ini dengan skop kumpulan sasaran lebih terarah kepada atlet elit berdasarkan sukan yang dipertandingkan di temasya Olimpik.

Artikel Berkaitan:

Pada 21 April lalu, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah bersetuju menerima pakai Kod Anti-Doping Dunia 2021 untuk digunakan dalam negara dan diterjemahkan pelaksanaannya menerusi peraturan anti-doping serta standard antarabangsa ditetapkan WADA.

Kod Anti-Doping Dunia dikeluarkan WADA pada 2003 dan telah menjalani beberapa siri semakan pada 2009, 2015 dan terkini pada Januari lepas, bertujuan mengharmonikan semua dasar, peraturan, program serta aktiviti anti-doping yang merangkumi semua bidang sukan di setiap negara. - Bernama