X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 03 Disember 2021

SOP PRN Melaka cetus pertikaian

SPR telah mengumumkan PRN Melaka akan diadakan pada 20 November ini.
A
A

PELAKSANAAN Pilihan Raya ketika tempoh pandemik Covid-19 pastinya bukan satu tugas yang mudah buat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Keselamatan dan kesihatan pengundi merupakan aspek utama perlu dititikberatkan oleh SPR sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bermula daripada proses penamaan calon pada 8 November sehinggalah kemuncaknya iaitu pengundian pada 20 November ini.

Susulan daripada itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Ahad mengumumkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) membuat ketetapan untuk melarang sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya bermula 25 November hingga 27 November ini.

Pengumuman tersebut bagaimanapun mendapat reaksi kurang baik bukan sahaja daripada pembangkang, malah juga daripada beberapa parti kerajaan.

Ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat pada Isnin, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan mendesak kerajaan supaya menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) PRN) dengan memberikan sedikit kelonggaran ketika proses berkempen.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO itu berkata, SOP berkenaan seharusnya diteliti semula agar aktiviti kempen secara kecil-kecilan dapat dibenarkan dibenarkan termasuk berkempen dari rumah ke rumah dan ceramah.

Turut menyuarakan isu yang sama ketika sesi perbahasan terrsebut adalah Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad yang mempersoalkan SOP sedemikian memandangkan Melaka kini sudah berada di Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kerajaan dan SPR perlu lebih jelas mengenai kemungkinan wujudnnya dwistandard dalam penguatkuasaan SOP sedemikian.

Mengambil contoh daripada Singapura, Nik Nazmi berkata negara jiran tersebut yang mengadakan pilihan raya umum tahun lepas telah membenarkan ‘party political broadcast’ secara saksama antara semua parti yang bertanding.

Menjawab mengenai perkara tersebut, Timbalan Menteri Kesihatan I, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, SOP ketat yang dilaksanakan oleh kerajaan itu dibuat dengan mengambil iktibar daripada situasi yang berlaku selepas PRN Sabah yang lalu.

Katanya, ini kerana berdasarkan pemantauan dijalankan oleh KKM, peningkatan kes dan kluster berlaku dikaitkan dengan pergerakan rentas negeri melibatkan ramai individu iaitu di kalangan pengundi, penyokong dan petugas sebelum, semasa serta selepas pilihan raya termasuk aktiviti perhimpunan berkumpulan melalui kempen yang dilaksanakan.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman menyifatkan keputusan tidak membenarkan sebarang aktiviti kempen secara fizikal, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka adalah canggung dan pelik.

Ab Rashid yang juga merupakan bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, beliau secara peribadi berpandangan sebarang pilihan raya yang tidak membenarkan aktiviti berkempen bukanlah sebuah pilihan raya berlandaskan amalan demokrasi.

Jelas beliau, larangan kempen pilihan raya sekiranya dikuatkuasakan kelak bakal menyukarkan pengundi terutama penduduk luar bandar untuk mengenali calon serta memahami aspirasi manifesto pilihan raya ditawarkan setiap parti bertanding.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya SPR memberi sedikit ruang kepada semua parti politik untuk berkempen secara fizikal dengan menghadkan aktiviti tersebut kepada kempen berkunjung rumah ke rumah sahaja.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!