X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

1 Februari 2022 Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur

Shahidan (tengah) bergambar bersama pemenang selepas Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur di Mayor’s Courtyard pada Ahad. Turut serta Jalaluddin (dua, kiri) dan Mahadi (kanan). - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Sambutan Jubli Emas Bandar Raya Kuala Lumpur (1972-2022) akan diadakan pada 1 Februari depan, bagi memperingati ulang tahun ke-50 pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai bandar raya pertama di Malaysia pada 1972.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, sambutan itu diadakan bagi memupuk kesedaran dan sifat kesepunyaan warga kota terhadap bandar raya Kuala Lumpur melalui penglibatan yang lebih meluas dalam program dan aktiviti sambutan.

Menurut beliau, 50 program dan aktiviti telah diatur khusus untuk disertai oleh warga kota, yang bertujuan menjalinkan hubungan erat dan lebih inklusif antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), masyarakat dan pihak berkepentingan.

"Antara program dan aktivitinya termasuklah Pertandingan Menulis Artikel Kuala Lumpur, Festival Gendang dan Tari Kuala Lumpur, Karnival Ohhh Kuala Lumpur, Festival Nostalgia Kuala Lumpur-KL Dulu dan Festival Jom Makan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan logo, slogan dan maskot bagi sambutan berkenaan sempena genap 100 hari menjelang 1 Februari 2022, di sini, pada Ahad yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Shahidan berkata, Kuala Lumpur telah melalui evolusi yang hebat daripada sebuah pekan kecil sehingga apa yang kita dapat lihat hari ini.

Kejayaan demi kejayaan dilakar dalam pelbagai bidang di peringkat negara mahupun di persada dunia sekali gus membuktikan pencapaian yang luar biasa dalam tempoh lima dekad ini.

Sementara itu, ujarnya DBKL sedang menunggu hasil laporan daripada Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) berhubung kejadian tanah runtuh di Lingkungan Negeri Sembilan, Bukit Persekutuan, Bangsar, semalam.

"Kerja-kerja pembaikan dan pemulihan akan dilakukan serta-merta selepas memperoleh keputusan laporan itu. Kita berharap penduduk yang terjejas dapat berpindah buat sementara waktu ini," katanya.

Kejadian kira-kira pukul 7 malam semalam melibatkan bahu jalan utama sepanjang 40 meter di belakang rumah penduduk di kawasan terbabit. -Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!