Kes urus niaga dalaman: Peguam Sreesanthan selesai pertuduhan SC

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menjelaskan bahawa peguam Datuk Sreesanthan Eliathamby telah bersetuju membayar RM900,000 sebagai sebahagian daripada Persetujuan Penyelesaian Kawal Selia dengan SC atas kesalahan urus niaga dalaman saham Maxis Communications Berhad, UEM World Berhad dan VADS Berhad.

"Susulan penyelesaian ini, SC, dengan persetujuan Pendakwa Raya menarik balik prosiding jenayah yang berkaitan dengan Sreesanthan, dan rayuan terhadap pembebasannya dalam kes lain atas kesalahan urus niaga dalaman melibatkan saham Sime Darby Berhad," menurut Suruhanjaya dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu dikeluarkan SC bagi menjelaskan berita yang diterbitkan pada Rabu bahawa peguam korporat itu telah 'dibebaskan' daripada tuduhan urus niaga dalaman yang melibatkan tiga syarikat.

Menurut SC, penyelesaian itu tidak mempengaruhi prosiding sivil yang masih berjalan terhadap Sreesanthan berhubung pemerolehan 600,000 saham Worldwide Holdings Bhd antara Jun dan Julai 2006, semasa mempunyai maklumat material bukan awam.

“Dalam prosiding ini, Sreesanthan didapati bertanggungjawab oleh Mahkamah Tinggi pada 4 November 2020 dan diperintahkan untuk membuat pembayaran balik kepada SC sejumlah RM1,989,402, penalti sivil sebanyak RM1 juta dan dilarang daripada memegang jawatan sebagai pengarah syarikat tersenarai awam untuk tempoh selama 10 tahun, berkuat kuasa pada 18 November 2020.

"Sreesanthan telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan ini," kata SC.

Sreesanthan didakwa pada Julai 2012 kerana urus niaga dalaman melibatkan saham Sime Darby Bhd, Maxis Communications Bhd, UEM World Bhd dan VADS Bhd antara Oktober 2006 dan September 2008, semasa menjadi rakan kongsi kanan firma guaman yang terlibat dalam pelaksanaan korporat syarikat-syarikat berkenaan.

Menurut SC, walaupun suruhanjaya mendakwa Sreesanthan pada 2012, perbicaraan itu hanya bermula pada 2019 kerana pada September 2012 beliau telah memfailkan permohonan mencabar persoalan undang-undang berkaitan perlembagaan mengenai kuasa penyiasatan SC di bawah Seksyen 128 dan 134 Akta Suruhanjaya Sekuriti Akta Malaysia 1993.

Artikel Berkaitan:

Sreesanthan juga telah memfailkan permohonan untuk membatalkan tuduhan jenayah terhadapnya dan memohon pendedahan dokumen dan kenyataan saksi, katanya. - Bernama