Peniaga rugi lebih RM8,000, dua kali banjir di Yan

Media melaporkan 160 rumah di beberapa kampung di Yan terjejas akibat banjir kilat yang berlaku berikutan hujan lebat sejak petang Rabu. - Foto Bernama
Media melaporkan 160 rumah di beberapa kampung di Yan terjejas akibat banjir kilat yang berlaku berikutan hujan lebat sejak petang Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

YAN - Seorang peniaga kedai runcit serta pengusaha kedai alat ganti dan servis motosikal di sini kerugian lebih RM8,000 akibat kejadian banjir semalam dan Ogos lepas.

Tinjauan Bernama pada Khamis mendapati, premis mereka dipenuhi lumpur selepas air surut dengan terdapat sejumlah barangan perniagaan rosak.

Pemilik kedai runcit, Abdullah Samsudin, 61, berkata, kesan banjir kilat semalam menyebabkan beliau kerugian lebih RM3,000 manakala lebih RM5,000 semasa banjir pada 18 Ogos lepas.

"Ini banjir kali kedua selepas tragedi kepala air Ogos lepas. Kali ini kerugian kurang sikit tidak seperti kali pertama dahulu kerana saya melakukan persediaan awal.

"Kebanyakan barang yang rosak merupakan stok barang yang baharu masuk ke kedai pada Rabu lepas. Tidak sempat nak susun di rak dan terkena air banjir ini," katanya ketika ditemui Bernama di kedainya pada Khamis.

Menceritakan kejadian semalam, Abdullah memberitahu, hujan lebat berlaku kira-kira 6 petang dan beliau mengetahui kedainya dimasuki air selepas Isyak malam tadi sehingga tidak sempat mengalihkan stok barangan baharu ke tempat lebih tinggi.

Sementara itu, pengusaha kedai alat ganti dan servis motosikal Lim Chye Seng, 63, memberitahu, beliau kerugian kira-kira RM2,000 akibat banjir kilat semalam manakala banjir pada Ogos lepas pula menyebabkannya kerugian lebih RM6,000.

"Hujan lebat petang semalam dan air naik hingga masuk ke dalam kedai lebih kurang jam 8 malam. Ada barang tidak sempat nak alih.

Artikel Berkaitan:

"Air mula surut lebih kurang 9 malam dan pada Khamis isteri dan anak perempuan tolong saya cuci kedai," katanya sambil menambah kedai itu beroperasi sejak 40 tahun lepas.

Semalam media melaporkan 160 rumah di beberapa kampung di Yan terjejas akibat banjir kilat yang berlaku berikutan hujan lebat sejak petang semalam.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Kapten (PA) Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, 100 rumah terjejas di Mukim Singkir manakala rumah bakinya di Mukim Yan. -Bernama