Bayern pamer belang di Benfica

Sane (kiri) meraikan jaringan bersama pemain Bayern lain ketika bertandang menentang Benfica di Stadium Luz, Lisbon. - Foto AFP
Sane (kiri) meraikan jaringan bersama pemain Bayern lain ketika bertandang menentang Benfica di Stadium Luz, Lisbon. - Foto AFP
A
A
A

TONGGAK Bayern Munich, Leroy Sane menyifatkan gergasi Bundesliga itu dahagakan kemenangan lebih besar selepas membelasah Benfica 4-0 dalam perlawanan Liga Juara-Juara di Stadium Luz, Lisbon awal pagi Khamis.

Malah menurut Sane, skuad Die Roten itu bertekad mengekalkan rentak positif saingan peringkat kumpulan selepas melakar tiga kemenangan setelah mengharungi tiga perlawanan.

“Kemenangan ketiga yang juga kemenangan terbesar peringkat kumpulan di laman Benfica membuktikan kami musim ini serius mencabar kejuaraan.

“Jaringan besar pada perlawanan ini juga menunjukkan bahawa betapa kesungguhan pemain-pemain Bayern mahu membawa kelab ini pergi lebih jauh lagi.

“Saya percaya pasukan ini mampu menjaring lebih lagi gol, namun secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan kesungguhan setiap pemain-pemain,” katanya.

Pada perlawanan Kumpulan E itu, Sane meledak dua gol pada minit ke-70' dan 84' diikuti gol sendiri Everton Soares (80') sebelum jaringan Robert Lewandowski (82') melengkapkan kemenangan skuad Julian Nagelsmann diselia Dino Toppmoeller pada aksi tersebut.

Keputusan di laman Benfica itu menyaksikan Bayern kini mengungguli kumpulan dengan sembilan mata sambil diekori rapat Benfica kedua setelah kedua-dua pasukan mengharungi tiga perlawanan.

Artikel Berkaitan: