Langkah kanan Liew Daren pada Terbuka Denmark

Liew Daren.- Foto BadmintonPhoto
Liew Daren.- Foto BadmintonPhoto
A
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Liew Daren memulakan kempen Terbuka Denmark 2021 dengan langkah kanan susulan kemenangan menentang pemain tuan rumah, Hans-Kristian Solberg Vittinghus pada pusingan pertama semalam.

Liew, yang berada di kedudukan ke-37 ranking dunia menghadapi pertarungan 47 minit yang dramatik menentang Hans-Kristian yang menyaksikan beliau mara ke pusingan seterusnya setelah menang 21-18, 23-21.

Bagaimanapun, perjalanan sukar menanti Liew kerana beliau akan berhadapan pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia pada Khamis.

Zii Jia mara ke pusingan seterusnya selepas menang ke atas pemain Taiwan, Wang Tzu Wei 12-21, 21-9, 21-18 semalam.

Bagi kategori beregu lelaki, pasangan nombor 16 dunia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi melangkah ke pusingan kedua selepas beregu Denmark, Joel Eipe-Rasmus Kjaer menarik diri di set kedua walaupun skor terikat 18-18.

Ong-Teo menang pada set pertama ke atas Joel-Rasmus dengan 21-12.

Pasangan negara itu akan bertemu Alexander Dunn-Adam Hall, selepas gandingan dari Scotland itu menewaskan Lucas Corvee-Ronan Labar dari Perancis 21-14, 21-14.

Walaupun mendahului dengan selesa 6-1 pada set pertama, pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie hanya dapat beraksi tiga minit sebelum lawan mereka, He Ji Ting-Liu Xuan Xuan dari China menarik diri daripada pusingan pertama.

Artikel Berkaitan:

Pilihan ketiga kejohanan, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti menanti Goh-Shevon pada pusingan kedua setelah pasangan Indonesia itu mengalahkan Mikkel Mikkelsen-Rikke Soby dari Denmark, 21-15, 21-14.

Dalam perlawanan lain, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei gagal dalam misi mereka untuk mencipta kekalahan terhadap pilihan kedua, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai apabila tewas kepada pasukan Thailand itu dengan 21-16, 23-21. -Bernama