AirAsia sambung semula penerbangan ke Phuket

Gambar hiasan. - Foto Bernama
Gambar hiasan. - Foto Bernama
A
A
A

AIRASIA Malaysia akan menyambung semula empat penerbangan mingguan antara Kuala Lumpur dan Phuket bermula 5 November 2021 berikutan pembukaan semula Phuket Sandbox kepada pelancong yang telah divaksin sepenuhnya.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, AirAsia berkata, tetamu boleh menempah penerbangan mereka ke Phuket bermula Rabu sehingga 31 Oktober daripada hanya RM189 sehala melalui ikon 'Penerbangan' di AirAsia Super App untuk perjalanan antara 5 November 2021 dan 30 Mac 2022.

Menurutnya, pelancong mesti memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Thailand dengan mendapatkan Sijil Kemasukan yang boleh dibuat di Sistem Pendaftaran Sijil Kemasukan ke negara tersebut sebelum menempah tiket penerbangan mereka.

Melalui ikon ‘SNAP’ di airasia Super App, tetamu boleh mendapatkan tawaran penerbangan dan hotel bernilai bermula RM549 untuk perjalanan pada tempoh yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, berikutan kejayaan besar gelembung pelancongan Langkawi di Malaysia, pembukaan semula Program Phuket Sandbox menandakan pembukaan semula sekatan perjalanan antarabangsa ke Thailand.

“Kami telah bersedia sepenuhnya untuk kembali memulakan penerbangan dan memastikan para tetamu dapat menikmati pengalaman perjalanan yang selamat, lancar dan tenang.

“Kami telah menjual lebih 1 juta tempat duduk domestik dan juga mencatatkan muatan penumpang tinggi dan tempahan kukuh pada masa akan datang yang melambangkan pemulihan sektor pelancongan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: