PdPR masih diteruskan tetapi berbeza: Radzi Jidin

Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin bermesra dengan murid Tahun 1 Sekolah Kebangsaan Tunku Besar Tampin, Ammar Fahmi Hishamuddin, sempena tinjauan hari pertama persekolahan bagi negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Isnin.
Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin bermesra dengan murid Tahun 1 Sekolah Kebangsaan Tunku Besar Tampin, Ammar Fahmi Hishamuddin, sempena tinjauan hari pertama persekolahan bagi negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Isnin.
A
A
A

TAMPIN - [DIKEMAS KINI] Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) masih perlu diteruskan walaupun sebahagian besar pelajar sudah mula memasuki sekolah bagi mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, PdPR masih dilaksanakan berikutan sistem penggiliran pelajar sedang digunakan untuk PdP secara bersemuka.

Beliau bagaimanapun berkata, PdPR ketika ini berbeza berbanding dengan awal dahulu kerana lebih kepada persediaan bahan-bahan yang diperlukan oleh pelajar, terutama perkara yang sukar difahami sebelum mereka memasuki sekolah dan mengikuti sesi secara bersemuka.

"Ini satu pendekatan yang perlu dilakukan supaya pelajar dapat berterusan bersama guru bagi mengikuti pembelajaran mereka. Walaupun bukan setiap hari (PdPR), namun ia sangat penting untuk pelajar sentiasa ada bersama serta berhubung dengan guru mereka kerana sekarang ini kita melaksanakan secara giliran.

"Saya berharap guru-guru dapat membiasakan diri dengan sistem penggiliran ini sebelum lebih ramai lagi pelajar atau murid kembali ke sekolah seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan hari pertama persekolahan bagi negeri di Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Sekolah Kebangsaan Tengku Zainun dekat sini pada Isnin.

Ditanya mengenai persiapan menghadapi kemungkinan berlaku banjir susulan musim tengkujuh akhir tahun ini, Mohd Radzi berkata, pihaknya akan membuat persiapan sewajarnya berdasarkan keperluan dan keadaan semasa.

Beliau berkata, pihaknya tidak menafikan kemungkinan akan ada kawasan atau sekolah tertentu yang terdedah kepada banjir.

"Berdasarkan pengalaman lalu, tindakan kita berdasarkan keperluan dan keadaan semasa dalam menghadapi musim tengkujuh.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan mengusahakan dengan baik bagi menghadapi sebarang kemungkinan tanpa gangguan sehingga ke hujung penggal ini dan awal Januari nanti," jelas beliau.