Operasi jumpa rambut, gigi dipercayai milik Nur Aisyah Aleya

Anggota pasukan keselamatan menjalankan operasi mencari saki-baki anggota badan mayat yang dipercayai seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di dalam sebuah gaung di Gunung Raya hari ini. - Foto Bernama
Anggota pasukan keselamatan menjalankan operasi mencari saki-baki anggota badan mayat yang dipercayai seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di dalam sebuah gaung di Gunung Raya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

LANGKAWI - Operasi pencarian anggota badan Nur Aisyah Aleya Abdullah, 3, di sekitar gaung Gunung Raya menemui dua batang gigi dan gumpalan rambut dipercayai milik kanak-kanak itu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, penemuan bukti baharu itu dijumpai anggota polis dibantu khidmat unit anjing pengesan (K9) serta anggota bomba pada 11.00 pagi tadi.

Menurutnya, bahan bukti itu dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat.

“Gigi dan gumpalan rambut itu ditemui di dua lokasi berbeza selepas dua jam operasi dilakukan sekitar kawasan tengkorak dan cebisan rambut semalam. Walaupun mayat dipercayai milik mangsa tidak lengkap, proses bedah siasat akan diteruskan, hanya itu pilihan yang kita ada setakat ini,” katanya.

Mohd Iqbal berkata, radius pencarian cebisan mayat mangsa diperluaskan kepada jarak 500 meter termasuk ke bahagian cerun terakhir hingga ke kawasan landai, yang mempunyai anak sungai kering.

“Di kawasan hutan ini banyak binatang liar dan biawak, mungkin cebisan anggota badan mangsa sudah dibawa lari jauh. Jika radius pencarian diperluas lagi, akan ambil masa lama, penemuan bukti baru sudah cukup untuk bantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, lima anak suspek juga telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.

“Setakat ini kita sudah memanggil lapan saksi termasuk kakitangan Hospital Langkawi (HL) untuk dirakamkan percakapan,” katanya. Mohd Iqbal berkata, operasi pencarian akan diteruskan sekiranya ada keperluan.

Sebelum ini, Nur Aisyah Aleya dilaporkan hilang ketika di bawah jagaan pengasuhnya di Kuarters Hospital Langkawi. Polis kemudian menemui tengkorak dan cebisan rambut kanak-kanak itu di kawasan gaung di Jalan Gunung Raya semalam selepas suspek ditahan di Ampang, Selangor.

Artikel Berkaitan: