Warga kota teruja dapat pulang ke kampung

Rata-rata warga kota teruja untuk pulang ke kampung bertemu sanak saudara.
Rata-rata warga kota teruja untuk pulang ke kampung bertemu sanak saudara.
A
A
A

GOMBAK - Rata-rata warga kota teruja untuk pulang ke kampung bertemu sanak saudara dan tidak perlu lagi berkomunikasi melalui panggilan video selepas kerajaan membenarkan rentas negeri berkuat kuasa Isnin lalu.

Pekerja swasta, Rozila Ishak, 45, mengakui dia perasaan teruja dan gembira untuk pulang ke kampung bertemu keluarga tidak dapat digambarkan selepas hampir setahun tidak bersua muka.

Menurutnya, sepanjang tempoh itu hanya panggilan video menjadi penghubung mereka sekeluarga bertanya khabar dan melepaskan kerinduan.

"Hampir setiap hari kami buat panggilan video dan hari ini (Sabtu) baharulah dapat bergerak pulang ke kampung halaman di Jerantut untuk bertemu mak, ayah dan adik-beradik.

"Sepanjang tempoh larangan rentas negeri, kami tidak pernah sekali pun pulang ke Jerantut memandangkan tiada urusan penting.

"Jadi apabila boleh rentas negeri ini, kami keluar rumah awal pagi untuk elak kesesakan trafik kerana kami tahu ramai ambil kesempatan untuk pulang ke kampung halaman memandangkan cuti hingga Selasa sempena Maulidur Rasul," katanya ketika ditemui di Plaza Tol Gombak pada Sabtu.

Seorang akauntan, Luqman Zahari, 29, berkata, dia menangguhkan untuk pulang ke Terengganu memandangkan masih ada dalam kalangan ahli keluarganya yang tidak dapat pulang minggu ini.

"Kami rancang untuk pulang serentak supaya semua dapat berkumpul bersama-sama, Insya-ALLAH kami akan pulang hujung bulan ini.

"Jadi untuk minggu ini saya ambil peluang rentas negeri dengan membawa isteri dan anak bercuti di Kuantan terlebih dahulu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seorang peniaga sarapan pagi, Imran Abdullah, 45, berkata, Plaza Tol Gombak yang mulai sibuk sejak Jumaat telah membuka pintu rezeki buatnya untuk menambah pendapatan selepas hampir setahun tidak berniaga disebabkan sekatan rentas negeri.

"Tol Gombak kembali meriah lepas rentas negeri dibenarkan. Kalau tidak sebelum ini keadaan di sini lengang dan berniaga pun kurang sambutan

"Tapi pada hari ini, seawal jam 4 pagi sudah ada kenderaan yang berhenti dan beli nasi untuk dibuat bekalan makan di dalam kereta.

"Biasanya mereka yang menghala ke pantai timur akan gerak awal pagi untuk elak kesesakan trafik," katanya yang membuka payung berhampiran stesen minyak Petronas menghala Plaza Tol Gombak.