Kuasa kerajaan sementara Melaka terhad dalam pentadbiran

Mesyuarat Exco Kerajaan negeri Melaka yang berlangsung semalam di Seri Negeri berjalan lancar seperti biasa di bawah kerajaan sementara walaupun mempunyai had dalam pengurusan dan pentadbiran.- Foto Bernama
Mesyuarat Exco Kerajaan negeri Melaka yang berlangsung semalam di Seri Negeri berjalan lancar seperti biasa di bawah kerajaan sementara walaupun mempunyai had dalam pengurusan dan pentadbiran.- Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Mesyuarat Exco Kerajaan negeri Melaka yang berlangsung semalam di Seri Negeri berjalan lancar seperti biasa di bawah kerajaan sementara walaupun mempunyai had dalam pengurusan dan pentadbiran, kata Ketua Menteri Sementara, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

"Ada yang boleh dan tidak boleh. Jadi, bagi memastikan kerajaan di bawah SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri) Datuk Kamel Mohamad, saya sebagai Ketua Menteri dan Exco yang ada sudah tentu membantu dalam apa juga cara agar kerajaan sementara ini terus berfungsi dengan baik.

"Ini terutama aktiviti berkaitan bantuan kepada rakyat dan pekerjaan yang sepatutnya berjalan seperti biasa, dipantau seperti kebiasaannya," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2025 (OSHMP25) serta perasmian Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) 2021 peringkat negeri Melaka, di sini pada Khamis.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Zailee Dollah dan Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Ismail Othman.

Mesyuarat Exco berlangsung semalam adalah yang pertama dipengerusikan Sulaiman sebagai Ketua Menteri kerajaan sementara sejak Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Sulaiman.

Empat bekas ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata, Melaka dijangka beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada minggu ketiga bulan ini.

"Melaka sepatutnya boleh bersama dengan Pahang untuk beralih ke Fasa Empat namun keadaan kes yang turun naik menyebabkan kita tangguhkan dahulu. Keputusan peralihan fasa akan ditentukan pada minggu hadapan,'' katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, OSHMP25 merupakan kesinambungan daripada tiga pelan strategik lima tahun KKP terdahulu yang bermatlamat membentuk budaya kerja selamat dan sihat, sekali gus menjadi tonggak dalam menjadikan tempat kerja di Malaysia selamat serta sihat menerusi program strategik pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan yang komprehensif.

Program seminar itu dihadiri 50 peserta secara bersemuka dan 750 lagi secara dalam talian, terdiri daripada golongan profesional dari jabatan kerajaan, pihak berkuasa tempatan, universiti awam dan swasta serta pengamal KKP. -Bernama