26 pasukan sertai Piala Tun Abdul Razak 2021

Perak muncul juara Piala Tun Abdul Razak 2020.
Perak muncul juara Piala Tun Abdul Razak 2020.
A
A
A

SEBANYAK 26 pasukan mengesahkan penyertaan pada kejohanan hoki Piala Tun Abdul Razak 2021 yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dari 10 hingga 20 November ini.

Daripada jumlah itu, 14 pasukan akan berentap memburu kejuaraan dalam kategori lelaki sementara 12 pasukan bersaing dalam kategori wanita berdasarkan senarai akhir pasukan selepas tarikh akhir pengesahan penyertaan Isnin lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, format pertandingan kejohanan itu akan dibincangkan bersama format serta proses undian kumpulan bagi Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2021 dalam mesyuarat jawatankuasa tersebut minggu ini.

"Dalam senarai pasukan, semua negeri ambil bahagian kecuali Johor di mana mereka tidak hantar pasukan dalam kategori lelaki dan wanita. Lain-lain negeri ada menghantar wakil pasukan lelaki dan ada yang hantar wakil dalam kategori wanita sahaja," katanya pada sidang media pada Rabu.

Anil Jeet Singh berkata, beliau tidak mendapat sebarang makluman berhubung Johor tidak menghantar penyertaan pada kejohanan itu.

Kategori lelaki Piala Tun Abdul Razak 2021, menyaksikan penyertaan Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.

Bagi saingan wanita pula pasukan yang bertanding ialah Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, PDRM, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Perak dan Pahang masing-masing muncul juara kategori lelaki dan wanita Piala Tun Abdul Razak 2020.

Artikel Berkaitan: