X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Kebakaran di loji akibatkan gangguan air di 100 kawasan

Anggota bomba melakukan kerja-kerja pemadaman kebakaran di sebuah bilik selepas dua transformers terbakar di Loji Air Semangar, Jalan Kulai-Kota Tinggi, Kota Tinggi, pada Selasa.
A
A

KOTA TINGGI - Dua unit transformers di Loji Air Semangar, Jalan Kulai-Kota Tinggi dekat sini pada Selasa terbakar hingga mengakibatkan gangguan bekalan air di 100 buah kawasan melibatkan lebih lima daerah.

Ranhill SAJ Sdn Bhd dalam satu kenyataan memberitahu, antara kawasan terlibat di Kempas, Skudai, Senai, Austin, Pulai, Gelang Patah, Iskandar Puteri, Sedenak, Seelong dan Kulai.

SAJ memaklumkan, antara kawasan terlibat Bandaraya Iskandar Puteri; Forest City; Taman Tema Legoland; Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS); Bandar Pulai Jaya; kawasan perindustrian dan taman perumahan.

Begitu juga pejabat kerajaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM); Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Laut Marin dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Iskandar Puteri.

"Kebakaran mengakibatkan loji henti tugas dan berlaku gangguan bekalan air luar jangka di beberapa kawasan seperti dinyatakan.

"Pihak SAJ sedang sedaya upaya bersama-sama pihak berkaitan untuk menyelesaikan permasalahan ini bagi memastikan kawasan terjejas menerima bekalan air bersih secara berperingkat-peringkat," jelas kenyataan itu.

SAJ menjelaskan, berdasarkan maklumat terkini, sekiranya kerosakan berjaya dibaiki dalam masa terdekat, anggaran tempoh pemulihan bekalan air adalah 12 jam selepas loji dioperasikan semula dengan kapasiti penuh.

Sementara itu, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu Unit Bantuan Perhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu kenderaan utiliti Pajero dikejarkan ke tempat kejadian.

Komander Operasinya, Penolong Kanan Penguasa Azman Jantan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian tersebut pada jam 2.57 petang.

"Kebakaran dua unit transformers itu berlaku dalam bilik berkeluasan 6.09 meter x 4.57 meter x 3.65 meter dan tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa.

"Bilik berkenaan telah terbakar 80 peratus. Kebakaran telah mengakibatkan kesan jelaga pada bilik tersebut. Operasi tamat pada jam 4.45 petang. Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!