Parlimen perlukan kuasa autonomi jadi badan bebas

Badlishah Sham Baharin
Badlishah Sham Baharin
A
A
A

SHAH ALAM - Reformasi Parlimen perlu dilaksanakan untuk memperkasakan institusi tersebut sebagai satu badan bebas serta semak dan imbang yang diyakini rakyat.

Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Badlishah Sham Baharin berkata, perubahan itu menjadi satu keperluan bagi memastikan institusi Parlimen bebas daripada rasuah dan meletakkan negara di landasan yang betul.

Menurut beliau, badan eksekutif, legislatif dan kehakiman itu perlu dipisahkan kuasanya supaya pemerintahan dan pentadbiran dapat berperanan dengan sewajarnya.

“Saya amat yakin jika reformasi Parlimen dilakukan maka Insya-ALLAH landskap politik akan bertambah baik,” katanya kepada kru Rasuah Busters.

Beliau turut menuntut supaya Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada tahun 1992 dikembalikan sebagai kuasa autonomi kepada institusi itu sendiri kerana Parlimen pada saat ini dibiayai kerajaan sedia ada.

“Parlimen ini seolah-olah berada di bawah telunjuk atau tindak-tanduk kerajaan, jadi kami menuntut supaya Akta Perkhidmatan Parlimen dibawa kembali supaya pembiayaan dan pendanaan dikuasai Parlimen dan bukannya kerajaan,” tegasnya.

Beliau turut berharap keanggotaan Jawatankuasa Parlimen diseimbangkan di antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bagi memantapkan suasana perdebatan.

Artikel Berkaitan: