Ismail Sabri serah bakul makanan di Bera

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

BERA - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu menyampaikan bantuan bakul makanan kepada mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan golongan memerlukan terdiri daripada masyarakat India dan Cina dalam daerah Bera.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera menyerahkan bakul makanan itu kepada pemimpin masyarakat terlibat dalam majlis yang berlangsung secara sederhana dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pejabat MIC dan Pejabat MCA Bera.

Pegawai khas beliau bagi masyarakat India K Ramesh, 46, berkata, sebanyak 1,500 bakul makanan telah dan akan diagihkan kepada mereka yang memerlukan secara berperingkat bermula dua minggu lepas.

Menurut beliau, secara keseluruhan terdapat lebih 5,800 masyarakat India di Bera.

Ketua Pemuda MIC Bera, C Uganeswaran, 33, yang mewakili penerima mengambil bakul makanan itu berkata, Perdana Menteri membuktikan aspirasi Keluarga Malaysia menerusi bantuan berkenaan yang mana golongan memerlukan daripada masyarakat India turut mendapat perhatiannya.

Katanya, 150 pemuda MIC terdiri daripada golongan B40 akan menerima bantuan makanan yang sedikit sebanyak membantu mereka menjimatkan perbelanjaan harian selepas pendapatan terjejas susulan wabak Covid-19.

“Saya mewakili mereka mengucapkan terima kasih atas bantuan ini dan kami hargai walaupun selepas jadi perdana menteri beliau (Ismail Sabri) tetap beri perhatian kepada penduduk Bera termasuk masyarakat India,” katanya.

Ketua MCA Bahagian Bera, Teh Kim Seng, 65, berkata, golongan miskin khususnya ibu tunggal diberi keutamaan bagi menerima bantuan bakul makanan pada Sabtu yang dapat meringankan beban bagi meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Artikel Berkaitan:

“Ramai orang terjejas selepas wabak Covid-19 yang melanda hampir dua tahun, dengan inisiatif ini sekurang-kurangnya mereka boleh gunakan untuk siapkan makanan harian keluarga.

“Kami turut menghargai bantuan ini dan berterima kasih kepada Perdana Menteri atas inisiatif tersebut selain kami turut mengharapkan lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan di daerah ini sekali gus dapat melonjakkan ekonomi penduduk tempatan,” katanya. - Bernama