Keluarga mahu pembelaan sewajarnya atas kematian Adib

Kassim
Kassim
A
A
A

ALOR SETAR - Keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim meletakkan harapan tinggi kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi membuat siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap Allahyarham.

Bapanya, Kassim Abdul Hamid, 65, berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah satu berita yang dinanti-nantikan keluarga setelah tiga tahun mereka memperjuangkan keadilan kematian anak keduanya itu.

Katanya, dia sebelum ini hanya mendengar desas desus mengenai penubuhan jawatankuasa berkenaan namun tidak pasti pelaksanaannya.

"Alhamdulillah, kami keluarga rasa gembira dengan khabar ini, ia satu penghargaan buat kami. Apa yang kami sekeluarga mahu, sudah nampak jalan.

"Harapan kami tidak pernah putus, dari dulu lagi memang kami berharap keadilan buat Muhammad Adib," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Menurutnya, beliau berharap semua individu yang terlibat dalam jawatankuasa berkenaan akan menjalankan tugas masing- masing dengan telus dan bersungguh- sungguh.

"Apabila sebut jawatankuasa khas, maksudnya memang ia khas untuk siasat kematian Muhammad Adib, jadi kami harap akan ada hasil yang menggembirakan daripada jawatankuasa ini.

"Saya juga bersyukur kerana penubuhan ini membuktikan kerajaan tidak lepas tangan dan berdiam diri dengan kematian anak saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat Jemaah Menteri pada Sabtu memutuskan untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Allahyarham Muhammad Adib.

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dianggotai oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Penubuhan jawatankuasa khas ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kes kematian Allahyarham Adib, yang juga anggota unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mendapat keadilan dan sekali gus pelaku kematian Adib dihadapkan ke muka pengadilan.

Tiga tahun lalu, Muhammad Adib mengalami cedera parah dalam rusuhan ketika berlaku kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN).