Hari Sukan Negara platform terbaik pupuk semangat perpaduan

Annuar menyempurnakan gimik pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat KKMM di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
Annuar menyempurnakan gimik pelancaran Hari Sukan Negara Peringkat KKMM di Putrajaya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Hari Sukan Negara (HSN) sebagai platform terbaik untuk memupuk dan menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) merupakan agensi utama dalam menghidupkan roh dan semangat Keluarga Malaysia yang salah satu daripada nilai konsepnya adalah penyatuan dan perpaduan.

"Tidak ada yang lebih baik daripada bersukan, ia dapat merapatkan perhubungan kaum dan meningkatkan semangat patriotisme.

“Kegiatan sukan itu sebahagian daripada medium terpenting menjayakan falsafah Keluarga Malaysia dalam konteks negara kita. Saya harap KKMM dan agensi dapat memainkan peranan agar maksud itu dapat dijayakan sebaik mungkin," katanya selepas melancarkan HSN 2021 peringkat KKMM di sini pada Sabtu.

Annuar dan Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Seri Mohammad Mentek sebelum itu mengikuti secara maya majlis perasmian HSN 2021 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebagai simbolik perasmian sambutan HSN 2021 peringkat KKMM, Annuar menyempurnakan tendangan penalti dan menyertai senaman zumba.

Annuar berkata, HSN 2021 bukan sahaja menggalakkan aktiviti bersukan dalam kalangan rakyat malah dapat mengembalikan keceriaan selepas dua tahun dibelenggu pandemik Covid-19 serta meningkatkan produktiviti.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 telah mengekang aktiviti sukan sejak dua tahun lepas dan tahun ini, HSN dapat disambut ekoran negara di ambang awalan kejayaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sekali gus dapat mengeluarkan rakyat daripada kemurungan pandemik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, KKMM akan memberi kerjasama dengan KBS untuk menjayakan HSN 2021 dengan memaparkan rakaman dan gambar berkaitan rakyat di seluruh negara khususnya di kawasan pedalaman yang melakukan aktiviti bersukan di televisyen dalam usaha merakyatkan aktiviti sukan. - Bernama