Koperal didakwa buat laporan polis palsu

Seorang koperal (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan membuat laporan polis palsu.
Seorang koperal (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan membuat laporan polis palsu.
A
A
A

IPOH - Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas pertuduhan membuat laporan polis palsu, Ogos lalu.

Tertuduh, S P Varathraju Pillai, 39, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat laporan polis palsu iaitu Jelapang 4136/21 kepada Koperal Aminah Berahim sehingga menyebabkan penjawat awam terbabit menggunakan kuasanya yang sah di sisi undang-undang.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Balai Polis Pusat, di sini kira-kira jam 3.33 petang pada 27 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Peguam Amrick Singh Sandu yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberi jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung dua anaknya berusia 10 dan 13 tahun serta ibunya yang uzur.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 November ini untuk sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: