Kereta terlibat nahas terbakar, dua remaja rentung

Dua remaja rentung dalam nahas jalan raya berhampiran lampu isyarat di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, dekat Alor Setar, hari ini. - Foto ihsan JBPM
Dua remaja rentung dalam nahas jalan raya berhampiran lampu isyarat di Lebuhraya Sultanah Bahiyah, dekat Alor Setar, hari ini. - Foto ihsan JBPM
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Dua individu termasuk seorang wanita maut dalam kejadian kebakaran sebuah kereta berdekatan lampu isyarat Lebuhraya Sultanah Bahiyah di sini pada Khamis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, siasatan awal mendapati mangsa wanita dikenali sebagai Tan Sun Wen, 19, dan seorang lagi mangsa dipercayai lelaki yang belum dikenal pasti identiti.

Sayani menjelaskan kebakaran berpunca apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas dan terbakar hampir keseluruhan bahagian dalam kereta tersebut.

"Sebelum itu, Pusat Gerakan Operasi JBPM Kedah menerima panggilan kebakaran kereta melalui sistem MERS 999 lebih kurang jam 3.11 pagi dan sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Anggota bomba mendapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan api sedang marak," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, anggota BBP Alor Setar bertindak mengawal serta memadam kebakaran dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Nyoya sebelum api berjaya dipadamkan pada jam 3.25 pagi.

Tambah Sayani, komander operasi melaporkan terdapat dua mangsa dalam kereta masing-masing di tempat duduk penumpang dan pemandu.

"Bagaimanapun, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan. Mayat kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya pada jam 5.05 pagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.22 pagi.