Bayi cukup sifat dibuang di tong sampah

Lokasi bayi lelaki ditemui di tong sampah berhampiran sebuah pasar raya di Taman Indah Permai, Manggatal, Kota Kinabalu.
Lokasi bayi lelaki ditemui di tong sampah berhampiran sebuah pasar raya di Taman Indah Permai, Manggatal, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Bayi lelaki cukup sifat ditemui di dalam tong sampah berhampiran sebuah pasar raya di Taman Indah Permai, Manggatal, di sini, pada malam Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, bayi yang dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan masih hidup oleh seorang lelaki berusia 30-an yang kebetulan melintas kawasan pembuangan sampah berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati, lelaki berkenaan seperti terdengar bunyi yang disangkanya kucing.

Katanya, lelaki itu kemudian menghampiri kawasan pembuangan sampah berkenaan dan mendapati, bunyi berkenaan semakin kuat sebelum bertindak berusaha mencarinya.

"Lelaki terbabit kemudian terkejut dengan penemuan bayi itu sebelum bertindak menghubungi pusat panggilan kecemasan MERS 999 untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

“Polis yang tiba di lokasi kejadian terus menjalankan siasatan dan bayi terbabit diserahkan kepada pasukan ambulans untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, pada Rabu.

George berkata, bayi itu kemudiannya dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan suspek yang terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi.

Artikel Berkaitan:

"Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil dan boleh berhubung terus pegawai penyiasat iaitu Inspektor Ab Zumin di talian 014-5521 425,” katanya.