Harga barang jadi isu sepanjang zaman

No Image Caption
A
A
A

Harga barang keperluan akan terus menjadi isu yang menghantui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Negeri (KPDNHEP), menteri dan pegawaipegawainya saban tahun.

Harga barang asas seperti ayam, telur, bawang, ikan rakyat seperti kembung dan selar serta sayur-sayuran seperti kobis, sawi dan tomato merupakan barang keperluan yang sangat dekat di hati pengguna.

Ayam dan telur pula adalah sumber protein yang termurah untuk golongan B40 dan keluarga muda M40. Sedikit perubahan pada harga, pasti akan menggegarkan ruang komen pengguna di media sosial.

Fokus utama sudah tentu akan tertumpu kepada kerajaan kerana rakyat menuntut penyelesaian agar rakyat marhaen tidak terus terbeban dengan kesan kenaikan tersebut.

Petrol naik barang naik

Apakah itu mitos, harga barang akan turut naik bila harga minyak naik. Apabila minyak mentah naik melebihi USD100 setong satu ketika dulu, semua harga barang naik termasuk air suam dan teh tarik. Tapi bila harga minyak turun sekitar USD60 setong tak pula harga barang turun!

Ketika PKP tahun 2020, minyak setong dan harga RON95 dan diesel turun serendah RM1.25 seliter, harga barang tetap pada harga ketika petrol mencanak.

Mitos sudah jadi kepercayaan! Ia akan digunakan oleh mereka yang berkepentingan untuk naikkan harga barang. Benarlah bidalan orang tua-tua, hanya hujan sahajayang turun, lain semua naik”.

Artikel Berkaitan:

Setiap barang mempunyai komponen untuk menghasilkan atau mengeluarkan sesuatu barang keperluan. Ini adalah pemahaman asas ekonomi yang mesti diterima oleh semua pengguna.

Ikan untuk sampai ke pasar memerlukan nelayan, kapal/bot dan peralatan menangkap ikan. Kapal memerlukan diesel untuk ke laut. Itu semua kos. Sebab itu kerajaan beri subsidi diesel, walaupun ada nelayan yang menyalahgunakannya dengan menjual kepada nelayan asing untuk keuntungan segera.

Sayur-sayuran memerlukan tanah, benih, racun dan baja. Ada pula memerlukan rumah hijau untuk memastikan kualiti terjamin sepanjang tahun. Belum termasuk lagi air, elektrik dan teknologi hidroponik dan fertigasi.

Dalam pengeluaran ayam dan telur pula, kos reban, baka ayam, ubat-ubatan, vitamin dan makanan ayam adalah antara komponen yang terpenting. Semua itu adalah komponen kos yang menentukan harga kepada peniaga dan akhirnya kepada pengguna.

Harga segelas teh tarik mengambilkira kos air, gas memasak, teh, susu, gula, gaji pekerja dan sewa kedai.

Upah, gaji, pengangkutan

Satu komponen kos yang mesti ada dalam setiap industri adalah pekerja – mahir dan kurang mahir. Barang keperluan tidak dapat dihasilkan dan dipasarkan tanpa pekerja seperti nelayan, pekerja kebun, pekerja kilang, pekerja ladang ayam, tukang masak dan pekerja yang berkaitan.

Semua pekerja memerlukan upah atau gaji. Gaji itulah yang akan digunakan untuk kelangsungan hidup. Kalau orang yang makan gaji dalam industri perkhidmatan mengharap gaji mereka dinaikkan setiap tahun, begitulah juga pekerja di laut, lading dan kilang.

Semakin ramai pekerja mahir, semakin tinggi komponen upah yang akan dimasukkan ke dalam kos pengeluaran yang kemudiannya diterjemahkan kepada harga jualan yang harus dibayar oleh pengguna.

Penulis Bebas, Wai Tee
Penulis Bebas, Wai Tee

Satu lagi komponen utama adalah kos pengangkutan dari pusat pengeluaran ke pusat penjualan dan di sinilah harga petrol dan diesel mempengaruhi harga di pasaran.

Kos akan meningkat jika bahan mentah, peralatan, bahan makanan ternakan, vitamin dan ubat-ubatan adalah daripada sumber import. Bekalan yang berkurangan dalam dunia dan tukaran mata wang asing boleh memberi kesan kepada harga bahan mentah.

Kes bekalan dan harga soya dan jagung yang digunakan dalam makanan ayam, vitamin dan ubat-ubatan yang meningkat baru-baru ini merupakan kes klasik bagaimana bahan mentah boleh memberi kesan kepada harga ayam di pasaran yang terpaksa ditanggung oleh pengguna.

Cuaca dan penyakit turut mempengaruhi harga jualan. Musim tengkujuh akan mengurangkan bekalan hasil laut yang memberi kesan kepada harga kerana nelayan tidak dapat turun ke laut.

Banjir yang melanda India menyebabkan bekalan import bawang terganggu. Begitu juga banjir di Pahang yang menyebabkan hasil ternakan patin terganggu boleh meningkatkan harga.

Musim hujan dan sejuk yang mempengaruhi hasil tanaman dan pembesaran ayam juga akan memberi kesan kepada bekalan yang kemudiannya mempengaruhi harga jualan.

Harga kawalan

Semasa berlaku kenaikan harga ayam baru-baru ini, ramai pengguna meminta supaya kerajaan menjadikan ayam barang kawalan dengan harga dikawal pada tahap tertentu.

Itu adalah jalan pintas tanpa memikirkan kesan jangka panjang. Kawalan harga mungkin bagus untuk pengguna tetapi tidak untuk industri dan negara.

Industri boleh lumpuh jika pengusaha mendapati keuntungan mereka dihadkan. Malah mereka boleh sahaja mengeksport produk atau pindah operasi ke negara lain. Kawalan harga juga boleh meningkatkan kes penyeludupan.

Akhirnya negara mengalami kerugian dan hilang pendapatan serta rakyat hilang pekerjaan. Harga barang dalam pasaran bebas ditentukan berdasarkan penawaran (bekalan) dan permintaan. Semua peniaga dan pengusaha adalah juga adalah pengguna.

Mereka mungkin penjual ayam tetapi mereka adalah pengguna beras, sayur dan barang keperluan lain. Kenaikan harga yang keterlaluan mungkin dilihat menguntungkan kepada sekelompok peniaga tetapi sebenarnya mereka juga terpaksa membayar lebih untuk barangan lain.

Pasaran mestilah dibiarkan untuk menyelaras harga barangan dalam pasaran. Kenaikan selalunya bersifat sementara dan bila bekalan kembali pulih atau permintaan berkurangan disebabkan pengguna beralih produk alternatif akan menyelaraskan harga di pasaran.

Peranan pengguna

Pengguna memainkan peranan besar dalam mempengaruhi pasaran dan harga. Ketaksuban pengguna kepada sesuatu jenama, barang dan premis boleh menyebabkan harga dieksploitasi oleh sesebuah jenama dan premis.

Pengguna sebenarnya memiliki banyak pilihan dan seharusnya melaksanakan hak mutlak mereka mengekplorasi setiap alternatif yang ada demi kebaikan diri dan ekonomi mereka.

Akan ada situasi di mana pengguna harus mengurangkan cita rasa sehingga keadaan kembali normal. Sedikit pengorbanan demi kebaikan jangka panjang adalah penyelesaian sementara yang diperlukan.

Pilihan boleh dalam bentuk barang yang serupa tetapi jenama yang lain atau membeli di premis lain. Pengguna harus fleksibel dan tidak mementingkan cara mereka sahaja. Amat ironi bila pengguna rela menjadi pejuang kepada peniaga yang berkeras mengekalkan margin keuntungan mereka.

Yang kita perlukan bukan harga kawalan, tetapi harga terkawal yang menguntungkan pengguna dan semua rantaian bekalan.

Selagi pengguna tidak mahu memahami dan sesuaikan cita rasa dalam situasi yang memerlukan, isu harga barang akan sentiasa berulang walau kerajaan bertukar tiap tahun jika pengguna dan peniaga tidak bekerjasama. Itulah pengalaman penulis yang telah melalui perubahan kerajaan beberapa kali sejak 2018.