Dua lagi ADUN Melaka dijangka tarik sokongan

Idris (kanan) ditemui pada sidang akhbar di Bandar Hilir di sini, pada Selasa.
Idris (kanan) ditemui pada sidang akhbar di Bandar Hilir di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Undang, Datuk Seri Idris Harun mendedahkan dua lagi ADUN dijangka mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan nama ADUN terbabit kerana masih dalam perbincangan.

“Kita dapat bayangkan akan ada dua lagi ADUN yang mungkin akan bersama kita, tapi ini masih lagi di peringkat perbincangan,” katanya pada sidang akhbar di Bandar Hilir di sini, pada Selasa.

Menurutnya, satu pertemuan bersama Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi menyatakan pandangan bagaimana kerajaan negeri akan diurus tadbir selepas ini.

Ujarnya, mereka bersetuju mencadangkan dua wakil iaitu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang juga ketua pembangkang, Adly Zahari dan beliau selaku empat ADUN yang sudah hilang kepercayaan terhadap Sulaiman.

“Memandangkan Ketua Menteri meletakkan jawatan, seramai 11 ADUN PH dan kami berempat bersetuju secara kolektif di bawah perkara 72(1) dan 82(a) Perlembagaan negeri untuk melantik dan mencalonkan seorang ADUN yang mempunyai kepercayaan dalam kalangan 15 ADUN ini untuk dilantik sebagai Ketua Menteri,” katanya.

Pada Isnin, Idris bersama tiga lagi ADUN iaitu Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas - Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) menamatkan teka-teki krisis politik Melaka selepas mendakwa hilang kepercayaan dengan kepimpinan Sulaiman.

Artikel Berkaitan: