Manchester United, Everton sama kuat di Old Trafford

Reaksi penjaga gol Everton, Jordan Pickford selepas Martial meledak jaringan pembukaan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Manchester, malam ini. - Foto AFP
Reaksi penjaga gol Everton, Jordan Pickford selepas Martial meledak jaringan pembukaan Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, Manchester, malam ini. - Foto AFP
A
A
A

MANCHESTER United mempersiakan peluang melebarkan jurang mata pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila diikat 1-1 ketika melayan kunjungan Everton di Stadium Old Trafford malam ini.

Tampil dengan reputasi tiga kemenangan dari empat perlawanan terakhir liga, skuad kendalian Ole Gunnar Solskjær terlebih dulu merobek gawang anak didik Rafael Benítez pada minit ke-43 menerusi Anthony Martial yang menyudahkan hantaran daripada Bruno Fernandes untuk mendahului babak pertama.

Babak kedua menyaksikan The Red Devils melakukan beberapa pertukaran apabila memasukkan Jadon Sancho dan Cristiano Ronaldo menggantikan Martial serta Edinson Cavani pada minit ke-57 bagi memantapkan serangan tuan rumah.

Namun, The Toffees agresif mengasak bagi memburu jaringan penyamaan akhirnya merobek gawang tuan rumah hasil jaringan Andros Townsend pada minit ke-65 untuk keputusan kekal 1-1.

Keputusan seri itu menyaksikan Manchester United dan Everton masing-masing kini mengumpul 14 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan liga.

Manchester United akan berkunjung ke Stadium King Power menentang Leicester City pada 16 Oktober ini diikuti melayan kunjungan kelab Itali, Atalanta di Old Trafford pada 21 Oktober bagi perlawanan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Artikel Berkaitan: