Berdepan kemiskinan, pelajar UPSI dapat perhatian Perdana Menteri

Wan Khairul Ihsan (kanan) hadir bagi menyampaikan sumbangan kewangan daripada Perdana Menteri kepada pelajar Wan Nur Atierah Wan Mohd Nasrom, 19, di rumahnya di Kampung Bendang Pulau Palekbang hari ini. -Foto Bernama
Wan Khairul Ihsan (kanan) hadir bagi menyampaikan sumbangan kewangan daripada Perdana Menteri kepada pelajar Wan Nur Atierah Wan Mohd Nasrom, 19, di rumahnya di Kampung Bendang Pulau Palekbang hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

TUMPAT - Kisah kemiskinan seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang tidak dapat membuat persediaan ke universiti itu disebabkan masalah kewangan mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pegawai Khas Perdana Menteri, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata, pelajar berkenaan iaitu Wan Nur Atierah Wan Mohd Nasrom, 19, yang juga bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut itu akan melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Sumber Manusia) selama empat tahun.

Menurutnya, menerusi tindakan yang telah diambil oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pelajar berkenaan akan diberikan pengecualian bayaran yuran pendaftaran universiti dan yuran pengajian semester pertama.

“Keprihatinan Perdana Menteri dapat dilihat apabila beliau telah menggunakan jentera-jentera kepimpinan masyarakat setempat untuk menjadi mata dan telinga kepada beliau.

"Jadi, kes ini telah dimaklumkan kepada pihak kami di Jabatan Perdana Menteri khususnya daripada kepimpinan UMNO Bahagian Tumpat mengenai halangan yang dihadapi oleh Wan Nur Atierah yang tidak dapat membuat persediaan ke UPSI disebabkan kekangan dari segi kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi keluarga Wan Nur Atierah di Kampung Bendang, Pulau Palekbang di sini pada Sabtu untuk menyampaikan sumbangan wang tunai daripada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Wan Nur Atierah yang turut dihadiri oleh Pengetua SMK Kampung Laut, Mohd Nazeli Mohd Nawi.

Pada masa sama, dalam kunjungan berkenaan juga Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Syed Mohd Fazmi Sayid Mohammad turut melakukan panggilan video selama 10 minit kepada Wan Nur Atierah untuk menyampaikan amanat serta nasihat daripada Perdana Menteri kepada beliau.

Sebelum ini, kisah Wan Nur Atierah juga tular di laman media sosial yang turut mendapat perhatian daripada warga siber yang turut bersimpati dengan nasib beliau.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Wan Nur Atierah berkata, tiada kata-kata yang mampu diluahkan dan digambarkan apabila mendapat tahu kisah beliau meraih perhatian Perdana Menteri untuk membantu melanjutkan pengajian ke UPSI pada 11 Oktober nanti.

Katanya, pada mulanya beliau berhasrat untuk menangguhkan terlebih dahulu pengajiannya susulan menghadapi kekangan kewangan dan merancang untuk bekerja terlebih dahulu bagi mencari wang saku.

“Saya berhasrat untuk bekerja dahulu bagi memperoleh wang agar hasrat menyambung pengajian ke peringkat tinggi dapat tercapai. Namun selepas itu, saya dimaklumkan pihak pemimpin setempat bahawa pihak tersebut menerusi Perdana Menteri akan membantu menguruskan kemasukan ke UPSI.

"Saya sangat bersyukur dan ingin menzahirkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas bantuan yang diberikan ini. Insya-ALLAH saya akan menggunakan peluang ini sebaik mungkin untuk mengubah nasib keluarga memandangkan ibu Hamsiah Muhammad, 46, juga merupakan seorang ibu tunggal,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu. - Bernama