Bangkai buaya tembaga ditemui di Sungai Trong

Bangkai buaya seberat 600kg ditemui terapung di Sungai Trong, Taiping. Foto: ihsan pembaca
Bangkai buaya seberat 600kg ditemui terapung di Sungai Trong, Taiping. Foto: ihsan pembaca
A
A
A

TAIPING - Bangkai seekor buaya tembaga dianggarkan sepanjang 4.5 meter ditemui di Sungai Trong, Kampung Kuala Trong di sini pada Jumaat.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat awam mengenai penemuan bangkai buaya jantan itu.

"Siasatan awal mendapati buaya dianggarkan seberat 600 kilogram itu mati dipercayai disebabkan faktor umur berikutan semua gigi buaya telah tiada atau luruh.

"Reptilia berkenaan dipercayai sudah mati antara dua atau tiga hari lalu sebelum ditemui penduduk," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurutnya, bedah siasat akan dijalankan doktor veterinar bagi mengenal pasti punca sebenar kematian haiwan itu.

"Berdasarkan rekod, kami tidak menerima aduan berkaitan kewujudan buaya di kawasan berkenaan sebelum ini.

"Haiwan itu dipercayai telah mudik ke sungai berkenan kerana tidak boleh meneruskan kehidupan atas faktor usia," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak mengambil tindakan sendiri hingga boleh membahayakan nyawa.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang perkara berkaitan hidupan liar, mereka perlu melaporkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan seterusnya dengan menghubungi talian hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my," katanya.