Anwar nafi bertemu Yang di-Pertua Negeri Melaka

Anwar (kanan) sempat beramah mesra dengan pengunjung di pantai Teluk Kemang pada Sabtu.
Anwar (kanan) sempat beramah mesra dengan pengunjung di pantai Teluk Kemang pada Sabtu.
A
A
A

PORT DICKSON - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan akan menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam berhubung spekulasi yang mendakwa kerajaan negeri Melaka bakal tumbang.

Menurutnya, beliau tidak menerima sebarang maklumat terperinci mengenai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dikatakan akan melompat ke Pakatan Harapan (PH).

"Ada laporan media yang menyatakan saya akan menghadap... belum ada permohonan untuk saya menghadap Yang di-Pertua Negeri Melaka.

"Orang ramai memaklumkan tetapi tiada yang konkrit (kukuh), saya hanya mengetahui melalui laporan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pantai Teluk Kemang di sini pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan terdapat desas-desus kerajaan negeri Melaka yang diterajui UMNO akan tumbang berikutan empat ADUN kerajaan didakwa akan melompat ke PH selain telah menandatangani akuan bersumpah (SD).

Media turut melaporkan bahawa khabar angin Anwar juga dalam usaha untuk menghadap Mohd Ali.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Ketua Pembangkang itu berkata, beliau belum membuat sebarang keputusan berhubung kerusi yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"Saya belum buat keputusan. Belum ada mana-mana keputusan dan calon yang akan bertanding di mana-mana kawasan termasuk untuk presiden, itu fakta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Baru-baru ini, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, pihaknya menawarkan kepada Anwar untuk bertanding di kerusi Parlimen di negeri itu pada PRU15 akan datang.

Tawaran itu dibuat dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan PKR Perak baru-baru ini, sebagai langkah untuk mengukuhkan parti itu menawan negeri tersebut.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson pada Sabtu melakukan tinjauan ke pantai Teluk Kemang yang kembali meriah dengan pengunjung dalam negeri selepas beberapa bulan sepi akibat pandemik Covid-19.

"Alhamdulillah, peniaga juga sudah kembali berniaga di sekitar kawasan pantai. Saya nasihatkan pengunjung dan peniaga supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa," katanya.