'BN tak pernah mohon babit dalam perundingan bersama PN'

Shahril Hamdan
Shahril Hamdan
A
A
A

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) tidak pernah memohon untuk dibabitkan dalam apa-apa perundingan bersama Perikatan Nasional (PN) dalam hal mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, adalah menjadi hak PN untuk meneruskan rundingan mereka tanpa BN.

“BN akan meneruskan kerja kami dalam kerajaan hari ini dan juga persiapan PRU15.

“Ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 ialah tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU15, maka sehingga ini UMNO terikat kepada keputusan itu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa PN memulakan rundingan kerusi bagi menghadapi PRU15 tanpa UMNO.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu berkata, tindakan itu dibuat kerana pihaknya masih tidak mendapat sebarang petunjuk sama ada UMNO mahu berbincang mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Shahril turut membangkitkan bagaimana Pas yang menjadi anggota PN dan Muafakat Nasional (MN) ingin menguruskan dilema dan menjelaskan pendirian mereka.

“Seperti yang pernah saya sebut, UMNO akan menghormati pendirian Pas sepertimana Pas juga perlu menghormati pendirian UMNO,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan: