Jemaah masjid, surau di Wilayah Persekutuan ditingkatkan

Foto hiasan. (Gambar kecil: Mohd Ajib)
Foto hiasan. (Gambar kecil: Mohd Ajib)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Had jemaah bagi solat Jumaat, fardu dan aktiviti pengimarahan di masjid serta surau di Wilayah Persekutuan bagi tempoh FasaTiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditingkatkan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan baharu itu mendapat perkenan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

"Kehadiran jemaah dibenarkan mengikut kapasiti sebenar masjid dan surau dengan penjarakan fizikal 1.5 meter berkuat kuasa pada 1 Oktober.

"Semua masjid dan surau dibenarkan untuk melaksanakan aktiviti pengimarahan seperti kuliah Maghrib, kuliah Subuh, kuliah Dhuha, kuliah Zohor dan tazkirah sebelum solat Jumaat.

" Selain itu, tadarus al-Quran, kuliah muslimat, bacaan Yasin, tahlil, program zikir munajat dan doa juga dibenarkan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berharap, jemaah terus mematuhi SOP ditetapkan dan memanfaatkan peluang tersebut untuk mengimarahkan masjid dan surau.

"Gunakan peluang untuk bermunajat dan berdoa agar penularan wabak Covid-19 segera berakhir," katanya.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Lembah Klang (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor) beralih ke Fasa Tiga PPN berkuat kuasa pada 1 Oktober.

Artikel Berkaitan: