Jho Low hadir mesyuarat khas Lembaga Pengarah 1MDB pada 2009: Saksi

Jho Low
Jho Low
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Rabu diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low menghadiri mesyuarat khas Lembaga Pengarah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada 26 September 2009.

Bekas setiausaha syarikat 1MDB, Lim Poh Seng, 50, berkata, mesyuarat yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh itu turut dihadiri Tan Sri Che Lodin Wok Kamaruddin, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Tan Sri Azlan Zainol, Tan Sri Ismee Ismail, Casey Tang Keng Chee dan Jho Low.

Poh Seng yang dirujuk dengan minit mesyuarat berkenaan berkata, beliau tidak menghadiri mesyuarat tersebut kerana bercuti dan minit mesyuarat tersebut disediakan oleh Kelvin Tan Kay Jin, bekas pengarah pelaburan Terengganu Investment Authority (TIA). TIA dinamakan sebagai 1MDB pada 2009.

Bagaimanapun, saksi pendakwaan ke-10 itu yang kini pengurus besar B&M Consultancy Services Sdn Bhd berkata, beliau menghadiri dua mesyuarat lain yang berlangsung di hotel yang sama, Royale Bintang Damansara pada 3 dan 10 Oktober 2009, yang tidak dihadiri Jho Low.

Pada 13 Januari, bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang memberitahu mahkamah bahawa Jabatan Audit Negara (JAN) telah diminta supaya menggugurkan satu perenggan semasa kehadiran Jho Low pada mesyuarat Lembaga Pengarah (BOD) 1MDB pada 2009 dalam Laporan Audit akhir 1MDB atas alasan ‘sensitif’.

Menjelaskan mengenai mesyuarat pada 3 Oktober 2009, Poh Seng berkata, BOD 1MDB membangkitkan persoalan kepada pengurusan yang diketuai oleh Shahrol Azral berhubung usaha sama dengan PetroSaudi Holdings (Cayman) Limited, termasuk laporan penilaian dan dana yang akan disuntik kepada syarikat usaha sama itu.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustafa P Kunyalam pada perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy atas tuduhan meminda laporan audit akhir 1MDB.

Ketika ditanya ketua pasukan pendakwaan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengenai peranan Jho Low dalam 1MDB, Poh Seng berkata, beliau dilantik sebagai penasihat 1MDB pada 8 April 2009.

Artikel Berkaitan:

Sri Ram: Semasa mesyuarat khas lembaga pengarah pada 26 September 2009, kamu tidak menghadirinya kan? Tetapi bila kamu menerima buku minit daripada Kelvin Tan, adakah menimbulkan pertanyaan apabila melihat nama Jho Low?

Poh Seng: Tidak

Saksi itu juga mengesahkan bahawa Najib telah meluluskan ganjaran sebanyak RM120,000 setahun untuk pengerusi lembaga penasihat 1MDB manakala RM96,000 untuk ahli lembaga itu pada 6 Jun 2010.

Sri Ram: Tahukah kamu siapa pengerusi lembaga penasihat 1MDB?

Poh Seng: Tidak

Sri Ram: Kamu tak boleh ingat?

Poh Seng: Ya

Sebelum ini, bekas CEO 1MDB, Shahrol Azral memberi keterangan bahawa Najib menetapkan elaun RM120,000 setahun untuk pengerusi lembaga penasihat 1MDB dan turut menetapkan elaun RM96,000 setahun bagi ahli lembaga penasihat.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib, saksi itu berkata pegawai JAN tidak pernah meminta rekod syarikat 1MDB bagi 2009 dan 2011 daripadanya apabila menjalankan audit.

“Saya meletak jawatan sebagai setiausaha syarikat 1MDB semasa JAN menjalankan audit pada 2015 dan 2016. Goh Gaik Kim adalah setiausaha syarikat selepas saya meletak jawatan,” kata Poh Seng.

Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan pada laporan audit akhir 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan bagi mengelak Ahli Parlimen Pekan itu dikenakan tindakan.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung pada Khamis. - Bernama