Negeri Sembilan jangka sumbang 15 peratus KDNK menerusi MVV 2.0

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan dijangka menyumbang sebanyak 15 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara menerusi Lembah Wawasan Malaysia (MVV 2.0).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sumbangan itu dapat dicapai sekiranya MVV 2.0 dapat dilaksanakan dengan baik sekaligus memberi nilai tambah kepada KDNK negara.

Menurut beliau, perkara itu penting dan pihaknya telah memohon kepada kerajaan Persekutuan supaya infrastruktur seperti jalan, paip dan kemudahan lain diberi keutamaan contohnya pembinaan susur keluar ke jalan baru, Nilai-Labu dan pembesaran jalan Labu itu sendiri.

"Perkara ini juga telah diutarakan ketika sesi perbincangan dan mesyuarat di antara beberapa kementerian terlibat termasuk Kementerian Kewangan dan Kementerian Kerja Raya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas selesai Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Aminuddin berkata, pihaknya turut membincangkan pembangunan MVV 2.0 di kawasan bukan sahaja tertumpu di Sendayan tetapi juga di Port Dickson.

MVV 2.0 merupakan rancangan jangka panjang pembangunan Negeri Sembilan ke arah menjadi sebuah negeri maju yang memiliki pembangunan metropolis bertaraf dunia sekali gus memberi impak kepada ekonomi Malaysia dengan pelaburan antarabangsa dan tempatan.

Pembangunan itu berkeluasan 153,411 hektar tanah merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, MVV 2.0 menumpukan kepada empat pemacu ekonomi iaitu industri berteknologi tinggi, industri perkhidmatan dan pelancongan, sektor pendidikan dan penyelidikan berasaskan kemahiran serta Industri Perkhidmatan Khas atau aktiviti berkaitan hab logistik, penerbangan dan maritim.