Segera atasi kekurangan ambulans di Negeri Sembilan: Exco

Veerapan (tiga dari kiri) semasa menerima sumbangan ambulans untuk Hospital Port Dickson pada Selasa.
Veerapan (tiga dari kiri) semasa menerima sumbangan ambulans untuk Hospital Port Dickson pada Selasa.
A
A
A

SEREMBAN - Masalah kekurangan ambulans di semua hospital di Negeri Sembilan perlu diatasi segera.

Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar negeri, S Veerapan berkata, ia bagi memastikan urusan menghantar pesakit ke hospital terutama kes kecemasan berjalan lancar.

Beliau berkata, ketika pandemik Covid-19, hospital di negeri ini mengalami kekurangan ambulans.

"Keadaan menjadi rumit apabila ada pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan dengan kadar segera tetapi terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bantuan ambulans.

"Setiap satu jam secara kumulatif setiap hospital memerlukan dua ambulans yang perlu bergerak ke hospital lain seperti ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban, Hospital Kuala Pilah, Hospital Tampin dan Hospital Jelebu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mengikut prosedur pihak pengurusan hospital, hanya seorang pesakit boleh dibawa menaiki ambulans dalam satu masa.

Bagaimanapun katanya, bilangan pesakit yang tinggi ketika pandemik menyebabkan ambulans terpaksa membawa lebih daripada dua orang pesakit dalam satu masa.

"Kita telah memohon peruntukan menerusi bajet kerajaan negeri bagi membeli empat unit ambulans memandangkan ada keperluan serius dan terdesak.

Artikel Berkaitan:

"Ambulans daripada kerajaan Pusat tidak boleh diperoleh dalam masa terdekat ini. Oleh itu, kerajaan negeri perlu membantu memastikan kemudahan kesihatan di negeri ini.

"Pada masa sama, kerajaan Pusat didesak supaya melihat keperluan ambulans ini seperti yang saya cadangkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini," ujarnya.

Pada Selasa, Hospital Port Dickson menerima sumbangan sebuah ambulans daripada Pengarah Syarikat Thian Wah Motor Sdn Bhd, Alex Tan.

Sumbangan tersebut diberikan selepas pekerja syarikat berkenaan terpaksa menunggu selama dua hingga tiga jam untuk mendapatkan perkhidmatan ambulans bagi mendapatkan rawatan.

Sumbangan itu disampaikan kepada Veerapan sebelum diserahkan kepada Pengarah Hospital Port Dickson, Dr Mohd Zulfa Muhammad.