Tiga maut, dua parah kereta langgar tembok rumah

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas di Taman Daya, Johor Bahru pada Isnin.
Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas di Taman Daya, Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga lelaki maut manakala dua lagi cedera parah apabila kereta yang dinaiki melanggar tembok sebuah rumah di Taman Daya, di sini pada Isnin.

Komander Operasinya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Kanan II Ramli A Hamid berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 2.03 pagi.

Beliau berkata, seramai enam anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kereta Proton Waja tersebut dipercayai dari arah Taman Daya menuju ke Setia Indah sebelum terbabas dan hilang kawalan lalu merempuh tembok rumah di tepi jalan tersebut.

"R Vimalan, 21, M Sharven, 21, dan seorang lagi lelaki dewasa berusia 20-an yang masih belum dikenali identitinya meninggal dunia.

"Sementara S Meshen Kumar, 21, dan P Agilan, 22, cedera parah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi.

"Pihak bomba menggunakan peralatan Road Traffic Accident (RTA) untuk mengeluarkan mangsa tersepit.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bagi menerima rawatan manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis," katanya.

Menurutnya, operasi tamat pada jam 3.42 pagi.