X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

RMK12 undang pandangan pelbagai pihak

RMK12 dijangka menjadi landasan bagi pembangunan negara bagi tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025. - Foto 123RF
A
A

SHAH ALAM - Rakyat pastinya tertunggu-tunggu Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini (Isnin).

RMK12 dijangka menjadi landasan bagi pembangunan negara bagi tempoh lima tahun bermula 2021 hingga 2025.

Antara inti pati yang akan diumumkan dalam RMK12 itu kemungkinan melibatkan usaha dalam menangani kadar kemiskinan, peluang pekerjaan, ekonomi, pendidikan serta kesihatan yang telah terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, selari dengan pengumuman RMK12 itu, pelbagai pandangan turut dinyatakan sama ada daripada pakar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli politik dan lain-lain.

Pandangan berkenaan menyuarakan keluhan dan kesusahan rakyat yang dilihat wajar untuk kerajaan melipatgandakan usaha mereka bukan sahaja ke arah pemulihan, malah ke arah mentransformasikan industri berkepentingan.

Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan EIS-UPMCS, Profesor Madya Dr Mohd Yusof Saari berpandangan kerajaan disaran mencipta lebih banyak peluang pekerjaan yang berkualiti, bersifat jangka masa panjang dan sepadan dengan keluaran lulusan institusi pengajian tinggi (IPT) serta sekolah dalam RMK12.

Beliau berkata, ia kerana kadar ketidaksepadanan dilihat semakin melebar dan meruncing pada ketika ini.

Dalam pada itu, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan peruntukan tambahan untuk sektor pendidikan dalam RMK12 termasuk pemberian peranti kepada murid daripada golongan B40 selain memperbaiki infrastruktur di sekolah bagi keselesaan murid.

Menurut Alimuddin, saranan itu dibuat berikutan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dijangka tetap diteruskan.

Di samping itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berharap RMK12 akan turut mengumumkan berita baik berhubung pembukaan semua gelembung pelancongan sama ada domestik mahupun antarabangsa.

Mohd Khalid berkata, pembukaan semua gelembung pelancongan domestik dan antarabangsa sangat penting bagi sektor pelancongan kerana negara memerlukan pertumbuhan ekonomi dengan segera.

Saranan daripada pakar-pakar tersebut perlu diambil perhatian kerana ia merangkumi keperluan dan kepentingan bagi sesebuah industri untuk menaik taraf kualiti serta prestasi sektor berkenaan.

Oleh itu, RMK12 memegang peranan penting bagi membawa impak positif kepada ekonomi negara sekali gus memastikan pembangunan negara kembali rancak.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!